KEPONG – Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar tembok jejambat di laluan utama Kepong ke Sungai Buloh, berhampiran jejambat Keretapi Tanah Melayu (KTM), di sini, pagi tadi.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.40 pagi sebelum sebuah jentera bersama lima anggota digerakkan ke lokasi.
Menurut kenyataan BBP Sungai Buloh, Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II Khairul Nizam Johan berkata, setibanya di tempat kejadian, pihaknya mendapati sebuah kereta jenis Proton Iriz dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tembok jejambat.
“Seorang mangsa wanita berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum menyerahkan mangsa kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada ketika memandu, mematuhi had laju ditetapkan serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.




