GEORGE TOWN – Aktiviti plogging anjuran Kampus Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM) bukan sekadar menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi medium berkesan dalam memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar serta memperkukuh hubungan dalam komuniti kampus.
Program yang menggabungkan aktiviti berjoging sambil mengutip sampah itu melibatkan pembersihan di beberapa lokasi strategik sekitar kampus termasuk kawasan Arkib USM, Pusat Islam, tapak Convex serta kawasan persekitaran berhampiran sekali gus mencerminkan komitmen warga kampus terhadap persekitaran yang bersih dan lestari.
Pengerusi Kampus Sejahtera, Kamarul Aiman, berkata aktiviti plogging dipilih kerana pendekatannya yang santai dan memberi impak besar kepada kesihatan fizikal serta kesedaran sivik dalam kalangan peserta.
“Plogging bukan sekadar bersenam, tetapi satu ruang untuk kita berinteraksi, beriadah dan pada masa sama memikul tanggungjawab menjaga kelestarian komuniti kampus. Usaha kecil seperti ini mampu mencetuskan perubahan besar jika dilakukan secara berterusan,” katanya ketika ditemui MYBERITA.
Menurut beliau, inisiatif sebegini selari dengan aspirasi USM sebagai kampus lestari yang menitikberatkan keseimbangan antara pembangunan insan, alam sekitar dan kesejahteraan sosial.
Sementara itu, Sekretariat Kampus Sejahtera, Danial Harith, menyifatkan program berkenaan sebagai platform pendidikan tidak formal yang berkesan, khususnya dalam membentuk sikap prihatin terhadap kebersihan dan alam sekitar dalam kalangan siswa-siswi.
“Melalui aktiviti ini, peserta dapat melihat sendiri kesan pembuangan sampah secara tidak terkawal. Kesedaran yang lahir daripada pengalaman sebenar jauh lebih berkesan berbanding hanya melalui kempen atau ceramah,” jelasnya.
Turut senada, Siti Anisa, yang juga Sekretariat Kampus Sejahtera, berkata penglibatan pelbagai lapisan warga kampus menunjukkan kesedaran terhadap isu kelestarian semakin meningkat.
“Kami mahu membudayakan amalan menjaga kebersihan sebagai sebahagian daripada rutin kehidupan kampus. Apabila dilakukan bersama-sama, ia bukan sahaja meringankan tugas, malah mengeratkan hubungan dan menyemai rasa tanggungjawab kolektif,” katanya.
Program plogging ini diharap dapat dijadikan aktiviti berterusan serta diperluaskan ke lebih banyak kawasan kampus pada masa akan datang, selaras dengan usaha menjadikan USM sebuah institusi pendidikan yang mampan, sihat dan sejahtera untuk semua.

