Menurut hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Seri Paduka Baginda, pertemuan berkenaan turut mencerminkan semangat saling menghormati serta keakraban hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
“Pertemuan ini membentuk asas kerjasama yang lebih menyeluruh dan strategik antara Malaysia dan UAE,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim turut bertitah, pertemuan empat mata bersama Sheikh Mohamed telah menyentuh pelbagai perkara berkepentingan bersama, termasuk kerjasama dalam bidang ekonomi, pelaburan dan keterjaminan makanan.
Selain itu, Seri Paduka Baginda memaklumkan kedua-dua pemimpin turut berkongsi pandangan berhubung usaha memperkukuhkan kerjasama dalam sektor pertahanan antara Malaysia dan UAE.
“Kami juga berkongsi pelbagai perkara lain termasuk melihat usaha untuk mengeratkan lagi kerjasama antara Malaysia dan UAE dalam bidang pertahanan,” titah Baginda.
Pertemuan Yang di-Pertuan Agong bersama Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan berlangsung hampir satu jam di Istana Qasr Al Bahr, Abu Dhabi, bersempena lawatan khas Seri Paduka Baginda ke UAE yang bermula semalam, atas jemputan khas Presiden UAE itu.
Lawatan berkenaan dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh hubungan strategik dan diplomatik antara Malaysia dan UAE, khususnya dalam menghadapi cabaran serta peluang global semasa. – MYBERITA








