Warga emas melecur 80 peratus, rumah terbakar akibat tong petrol terjatuh

KUALA KRAI – Seorang warga emas melecur sehingga 80 peratus di badan manakala anak perempuannya cedera di kaki apabila rumah yang mereka diami terbakar dalam kejadian di Kampung Chuchuh Puteri B, di sini, pada Sabtu kira-kira jam 1 tengah hari.

Dalam kejadian itu, kebakaran dipercayai berpunca daripada sebuah tong berisi minyak petrol yang terjatuh, pecah dan tertumpah selepas terlanggar cucu mangsa yang sedang bermain di hadapan rumah. Minyak petrol berkenaan kemudian disambar api daripada pembakaran sampah berhampiran sebelum merebak dengan pantas ke kawasan rumah.

Mangsa, Rusiah Deraman, 72, mengalami kecederaan parah akibat kebakaran tersebut dan kini dilaporkan sedang ditidurkan serta menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra. Anak perempuannya yang berusia lingkungan 20-an turut mengalami kecederaan melecur di bahagian kaki ketika cuba menyelamatkan diri.

Menurut jiran mangsa, Shazwaniey Zahari, 34, dia dan suaminya menyedari kejadian itu ketika hendak keluar membeli makanan tengah hari selepas terdengar jeritan meminta pertolongan dari rumah berkenaan.

“Kami bergegas ke sana dan mendapati badan nenek Rusiah telah terbakar, hanya bahagian dada sahaja yang tidak terkena api,” katanya ketika ditemui media.

Shazwaniey berkata, suaminya turut bertindak pantas membantu menyelamatkan mangsa dengan menarik dan mendukung warga emas itu keluar dari rumah.

“Keadaan kawasan rumah yang berbukit menyukarkan pergerakan, ditambah pula dengan faktor usia dan kesihatan nenek Rusiah yang uzur,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Kanan Nik Ahmad Asham Nik Pa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.13 tengah hari sebelum menggerakkan 11 anggota ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, Komander Operasi mengesahkan terdapat dua mangsa, iaitu seorang wanita warga emas dan seorang wanita berusia 20-an yang mengalami kecederaan melecur,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa telah dihantar ke hospital oleh jiran sebelum ketibaan pasukan bomba, manakala punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

BACA JUGA:  ASNB umum dividen, ASB 2 5.5 sen dan ASM 5 sen
Wani Adawiyah
Wani Adawiyah
waniadawiyah@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...