REMBAU – Kesungguhan dan semangat kerja berpasukan pelajar Penyiaran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau terserlah apabila mereka berjaya melaksanakan rancangan siaran langsung berdurasi satu jam bertajuk The Midnight Show selepas melalui proses persiapan intensif selama satu semester penuh.
Rancangan berkonsep hiburan itu bukan sahaja menjadi projek akademik, malah medan latihan sebenar yang menuntut komitmen tinggi apabila kru produksi terpaksa ‘berkampung’ di studio selama dua minggu, dari waktu perintah berkurung (curfew) dibuka sehingga ditutup.
Ketua Produksi, Muhammad Adam Ariff Ramli, 22, berkata, kejayaan The Midnight Show merupakan hasil perancangan rapi melibatkan urusan dokumentasi, persiapan teknikal serta pengurusan kru yang bermula berbulan-bulan lebih awal.
“Saya amat berbesar hati kerana kami berjaya menjayakan projek ini. Persediaan bukan sahaja dari segi teknikal, malah mental dan emosi kru. Tanpa satu peranan pun daripada mereka, kejayaan ini tidak akan tercapai,” katanya.
Menurut Adam, cabaran terbesar adalah menguruskan produksi berskala besar yang melibatkan pelbagai jabatan seperti pencahayaan, audio, kamera dan pengurusan lantai, namun pendekatan komunikasi terbuka menjadi kunci kelancaran operasi.
Setiap malam, kru akan mengadakan sesi post-mortem bagi membincangkan masalah, menjaga emosi pasukan serta memastikan sebarang isu diselesaikan secara kolektif tanpa menjejaskan kualiti kerja.
“Kami percaya setiap masalah ada jalan penyelesaian. Post-mortem harian membantu kami kekal fokus dan saling memahami,” jelasnya.
Menariknya, pembahagian peranan kru dilakukan secara profesional berdasarkan pengalaman projek terdahulu, minat serta kesediaan untuk belajar, selain diputuskan melalui undian terbuka dalam kalangan pelajar.
Dalam masa sama, Adam tidak menolak kemungkinan untuk membawa hasil produksi The Midnight Show ke peringkat lebih tinggi dan menerbitkannya secara rasmi di luar UiTM sekiranya berpeluang.
“Saya seorang yang tidak suka berdiam diri di satu tempat. Setiap hari saya mahu belajar sesuatu yang baharu. Sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan,” katanya.
Mengakhiri temu bual, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh penyokong yang membantu dari pelbagai sudut termasuk promosi, sokongan moral, tajaan dan keperluan makanan sepanjang produksi berlangsung.
The Midnight Show membuktikan bahawa pelajar penyiaran UiTM Rembau bukan sahaja mampu menghasilkan rancangan berkualiti, malah bersedia menggalas cabaran industri penyiaran sebenar seawal di bangku pengajian.

