KUALA LUMPUR – Rentetan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, beberapa perkara wajar diberi penekanan oleh parti bagi memastikan aspirasi serta hala tuju penglibatan wanita muda dalam politik dapat difahami secara menyeluruh dan berimbang.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang, Ameera Nadia Mohd Shafiee berkata, sokongan terhadap Pergerakan Puteri UMNO Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi bukan bersandarkan emosi atau sokongan membuta tuli, sebaliknya lahir daripada kefahaman yang jelas terhadap visi yang dibawa.
Menurut beliau, visi tersebut menekankan pembinaan ekosistem dan sistem sokongan yang menyeluruh kepada wanita muda untuk menyertai politik, sama ada dalam kalangan pelajar mahupun golongan yang baru melangkah ke alam kerjaya.
“Wanita muda hari ini merupakan sebahagian daripada rakyat yang sedang memerhati dan menilai parti politik yang benar-benar memberi ruang, keutamaan serta nilai kepada suara mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, isu ini bukan sekadar persepsi, malah disokong oleh realiti semasa landskap politik negara. Ameera Nadia turut merujuk kenyataan Ketua Wanita Parti Amanah Negara merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah, ketika Sidang Wanita Pulau Pinang, yang menyarankan wanita muda memilih parti yang memberi ruang dan mengangkat suara wanita dalam kepimpinan.
“Sekiranya UMNO, khususnya melalui Puteri UMNO, tidak tampil memperkukuh ekosistem politik yang mesra dan progresif kepada wanita muda, tidak mustahil lebih ramai dalam kalangan mereka akan memilih platform politik lain yang dilihat lebih terbuka,” ujarnya.
Mengulas penegasan kuota 30 peratus calon wanita muda, beliau menjelaskan bahawa tuntutan itu bukan bertujuan menuntut kerusi secara melulu, sebaliknya berpaksikan kepada data dan statistik yang menunjukkan Malaysia masih berada di kedudukan ke-108 dunia dari segi penglibatan wanita dalam struktur kepimpinan negara.
“Realiti ini merangkumi penyertaan wanita di Parlimen, Dewan Undangan Negeri dan juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau mengakui prinsip winnable seats dan winnable candidates kekal menjadi asas pertimbangan UMNO. Namun, wanita muda yang layak, berkemampuan serta mempunyai sokongan akar umbi wajar diberi peluang di kerusi berpotensi dan bukan sekadar dijadikan pelengkap statistik.
Sebagai kesimpulan, Ameera Nadia menegaskan bahawa Puteri UMNO di bawah kepimpinan Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi hanya membawa satu mesej yang jelas dan bertanggungjawab kepada kepimpinan parti.
“UMNO perlu terus berevolusi dengan pendekatan yang lebih terbuka dan responsif terhadap aspirasi wanita muda demi memastikan parti ini kekal relevan, berdaya saing serta diyakini oleh generasi akan datang,” katanya.

