Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Ungku Omar, Norman Zamri berkata, kecemerlangan sesebuah institusi pendidikan bukan hanya bergantung kepada sistem, malah dipacu oleh kepimpinan yang memiliki keupayaan kognitif tinggi, kejelasan pemikiran serta kebijaksanaan dalam membuat keputusan strategik.
“Kepimpinan yang berintegriti, berfikiran strategik dan berteraskan nilai MADANI merupakan asas kepada kelestarian organisasi. Komitmen berterusan warga kepimpinan PUO akan menjadi pemangkin kepada pencapaian yang mampan dan berdaya saing,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa penghayatan nilai Malaysia MADANI dalam kepimpinan institusi mampu memperkukuh budaya kerja yang harmoni, progresif dan berfokuskan kesejahteraan warga serta pembangunan negara.
Sepanjang penganjuran kursus, para peserta didedahkan kepada modul komprehensif merangkumi pembinaan jati diri nasional, kepimpinan strategik, pengurusan konflik, komunikasi berkesan serta pengukuhan kerja berpasukan, bertujuan melahirkan kepimpinan yang berfikiran kritis, berdaya tahan dan mampu membuat keputusan strategik dalam persekitaran pendidikan yang dinamik.
Penyertaan aktif para peserta sepanjang kursus mencerminkan kesungguhan PUO dalam melahirkan barisan kepimpinan yang berjati diri kukuh, berwawasan dan berintegriti tinggi, sekali gus menyokong agenda transformasi pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) serta pembangunan negara secara holistik. – MYBERITA








