Diskaun tol 50 peratus dua hari sempena raya Cina

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Tahun Baharu Cina akan dilaksanakan selama dua hari, bermula pukul 12.01 tengah malam pada 14 Februari dan berakhir 11.59 malam keesokan harinya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan inisiatif itu melibatkan implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol terlibat, dianggarkan berjumlah RM19.5 juta.

Menurut beliau, keputusan tersebut diambil selaras dengan agenda Kerajaan Madani dalam memelihara perpaduan dan kesejahteraan rakyat merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan.

“Inisiatif ini tertakluk kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta Kelas 2 bagi Jambatan Pulau Pinang. Namun, ia dikecualikan bagi plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuh Raya Utara-Selatan dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

“Pemilihan tarikh ini bertujuan mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan selain mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan di sepanjang kawasan hentian sebelah serta kawasan rehat dan rawat di lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Alexander berkata pemberian diskaun tol itu diharap dapat meringankan beban kos perjalanan orang ramai sama ada untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan Tahun Baharu Cina bersama keluarga atau bercuti sempena persiapan awal Ramadan.

Pada masa sama, beliau menyeru semua pengguna lebuh raya agar memanfaatkan pengurangan kadar tol berkenaan dengan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Pengguna disarankan memuat turun aplikasi MyPLUS-TTA dan TuJu Highway Navigation App Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan, sekali gus meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pemanduan.

“Selain itu, semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi papan tanda, had laju serta maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS).

“Bagi mereka yang menggunakan lorong Smart Lane, pastikan memberi isyarat awal sebelum memasuki lorong tersebut, memandu mengikut kelajuan ditetapkan dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling,” katanya.

Tambah beliau, pengguna juga disaran menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya menerusi saluran rasmi LLM di Facebook, aplikasi X dan TikTok, atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1800-88-7752.

BACA JUGA:  Bella Astillah, Syed Saddiq bakal berkahwin raya ke...?

Maklumat tambahan turut boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi LLM bagi paparan CCTV serta saluran WhatsApp LLM Info Trafik.

Aqilah Nadhirah
Aqilah Nadhirah
aqilahnadhirah@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...