TANJONG MALIM – Seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Reka Bentuk & Teknologi daripada Fakulti Teknikal dan Vokasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Isyraf Firdaus Hassim, berjaya menerima pengiktirafan anugerah daripada Youth Achievement Record anjuran Gen Youth Malaysia.
Isyraf berjaya mencatat rekod memperoleh 130 sijil kursus atas talian terbanyak dalam tempoh tiga bulan, menjadikannya antara pelajar UPSI dengan pencapaian tertinggi pada April 2025.
Pencapaian ini memerlukan pelbagai kriteria dipenuhi, termasuk mempunyai rekod dalam Malaysia Book of Records serta syarat-syarat lain yang ditetapkan bagi melayakkan diri menerima anugerah berprestij ini.
Menurut Isyraf, semangat, disiplin, fokus dan konsisten adalah kunci utama kejayaan ini.
“Apabila semangat disertai doa, sudah pasti segalanya dapat dicapai. Ibu bapa merupakan pendorong utama saya dalam mencapai kejayaan ini. Setiap perkara dilakukan dengan niat ingin mengharumkan nama mereka. Melihat kedua-dua ibu bapa gembira merupakan tekad dan niat utama saya,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa doa ibu bapa tiada hijab dan sentiasa menjadi sumber kekuatan untuk melakukan yang terbaik dalam pelajaran, kerjaya, dan kehidupan seharian. Sepanjang perjalanan hidupnya, Isyraf pernah menghadapi kegagalan dan kejatuhan, tetapi pengalaman itu dijadikan pengajaran yang berharga serta mematangkan cara pemikiran dan tindakannya.
“Kegagalan sekali bukanlah bermakna kita akan gagal selamanya, sebaliknya ia adalah satu proses pembelajaran menuju kejayaan,” tambahnya.
Selain itu, Isyraf menekankan bahawa sikap dan disiplin mampu mengalahkan bakat semula jadi. Beliau turut berkongsi inspirasi daripada idola antaranya, Cristiano Ronaldo, yang berkata bahawa “Talent without work is nothing” bakat tanpa usaha tidak membawa sebarang makna. Kata-kata tersebut menjadi motivasi untuk beliau terus berusaha, berdisiplin dan bertekad dalam mengejar impian serta cita-cita hidup.
Rekod dan pencapaian yang diperoleh ini bukan mudah dicapai. Isyraf mengakui bersyukur kerana diberikan peluang untuk meningkatkan pencapaian diri serta mengharumkan nama universiti. Kejayaan ini juga menjadikan beliau pelajar UPSI dengan pencapaian tertinggi bagi bulan April 2025.

