PUTRAJAYA – Keluarga mendiang Altantuya Shaariibuu memohon untuk mengemukakan beberapa persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan Malaysia susulan keputusan terdahulu Mahkamah Rayuan Malaysia dalam saman sivil berkaitan kematian wanita warga Mongolia itu.
Antara persoalan yang dibangkitkan melibatkan skop tanggungan liabiliti kerajaan sekiranya tindakan ejen atau pegawainya menyebabkan kehilangan nyawa akibat perbuatan yang melanggar undang-undang, serta rangka kerja statutori berkaitan pemberian ganti rugi dalam tuntutan sivil yang berpunca daripada kejadian tersebut.
Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga mangsa mengesahkan perkara berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.
Permohonan itu dibuat selepas Mahkamah Rayuan pada 20 Januari lalu mengetepikan ganti rugi berjumlah RM5 juta yang sebelum ini diberikan oleh Mahkamah Tinggi Malaya, selain melepaskan kerajaan daripada tanggungan liabiliti atas kematian Altantuya.
Menurut Sangeet, memandangkan isu berkenaan mempunyai kepentingan awam yang besar, adalah wajar ia dipertimbangkan oleh Mahkamah Persekutuan bagi memperjelaskan kedudukan undang-undang dalam perkara tersebut.
“Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 19 Mac ini untuk pengurusan kes,” katanya.
Dalam penghakiman terdahulu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa tuntutan yang timbul akibat kematian adalah tertakluk secara ketat kepada Seksyen 7 Akta Undang-Undang Sivil 1956 dan perlu bersifat pampasan.
Mahkamah juga memutuskan kerajaan tidak boleh dipertanggungjawabkan secara liabiliti vikarius kerana pembunuhan tersebut tidak dilakukan dalam ruang lingkup tugas oleh dua anggota Unit Tindakan Khas, iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar.
Mahkamah turut menyatakan bahawa mahkamah rendah terkhilaf apabila memberikan ganti rugi vindikatori sebanyak RM5 juta kerana peruntukan undang-undang hanya membenarkan pampasan bagi kerugian kewangan yang dibuktikan kepada tanggungan, termasuk kehilangan sokongan serta perbelanjaan pengebumian.
Untuk rekod, keluarga Altantuya memfailkan saman sivil pada 2007 terhadap Azilah, Sirul, penganalisis politik Abdul Razak Baginda serta kerajaan Malaysia. Pada 16 Disember 2022, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kedua-dua bekas anggota polis itu bertanggungjawab terhadap kematian mangsa, manakala kerajaan turut dipertanggungjawabkan secara liabiliti vikarius sebagai majikan mereka ketika kejadian.

