JOHOR BAHRU – Seorang pengarah syarikat, Toh Yang Seng, dijatuhi hukuman denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas mengaku bersalah membenarkan setiausaha syarikat membuat pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Tertuduh menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016, yang memperuntukkan tindakan terhadap mana-mana individu yang membenarkan atau memberikan maklumat palsu kepada Pendaftar Syarikat.
Kesalahan ini melibatkan dokumen Application To Strike Off Company bertarikh 21 Februari 2024 bagi syarikat milik tertuduh, G.B.M Glove Enterprise Sdn. Bhd.
Sebelum ini, Toh Yang Seng telah didakwa atas kesalahan yang sama pada 2 Oktober 2025 dan mengaku tidak bersalah. Bagaimanapun, pada sebutan semula kes pada 5 Februari 2026, tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah.
Hakim Dato’ Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman denda RM30,000 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh telah membayar bayaran denda sejurus selepas prosiding selesai.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa SSM, Faizal Mahdi Mahmud dan Amir Sharifuddin Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Au Yong Han Xing dan Heng Wang Qianwei.
Dalam kenyataan media, SSM menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati memberikan pernyataan, maklumat atau laporan yang palsu atau mengelirukan. SSM sentiasa konsisten dalam usaha mengawal selia pematuhan terhadap peruntukan undang-undang, selain memastikan komuniti korporat peka terhadap tanggungjawab dan mengamalkan etika perniagaan berintegriti.

