BEIRUT – Beberapa pangkalan utama di Asia Barat termasuk Manama, Doha, Abu Dhabi, Dubai, Riyadh dan Amman dilaporkan digegarkan dengan kejadian letupan selepas Pengawal Revolusi Iran mengesahkan melancarkan serangan terhadap kemudahan tentera milik Amerika Syarikat (AS) di rantau itu sebagai tindakan balas dendam, lapor Hindustan Times hari ini.
Serangan tersebut dilihat sebagai peningkatan ketegangan dalam konflik berterusan antara AS dan Iran, yang sebelum ini menyaksikan beberapa siri serangan balas di wilayah strategik Asia Barat.
Bahrain
Di Bahrain, utusan negara itu ke AS, Abdalla Al-Khalifa mengesahkan serangan terhadap beberapa tapak dalam wilayahnya tanpa memperincikan lokasi sebenar. Serangan dipercayai menyasarkan Armada Ke-5 AS yang berpangkalan di Manama sebagai tindak balas terhadap tindakan ketenteraan AS-Israel di Tehran.
Menurut diplomat berkenaan, Manama mempunyai hak untuk mempertahankan diri dan bertindak balas terhadap sebarang pencerobohan di wilayahnya.
Emiriah Arab Bersatu
Di Emiriah Arab Bersatu (UAE), pihak berkuasa memaklumkan bahawa sistem pertahanan udara berjaya memintas beberapa peluru berpandu yang dilancarkan. Penduduk di Abu Dhabi melaporkan bunyi letupan kuat, manakala amaran kecemasan dihantar ke telefon bimbit orang awam, mengarahkan mereka berlindung di bangunan selamat serta menjauhi tingkap.
Abu Dhabi diketahui menempatkan kemudahan ketenteraan AS yang strategik di rantau berkenaan.
Qatar
Beberapa letupan turut kedengaran di Doha, ibu negara Qatar, yang menempatkan salah satu pangkalan tentera terbesar AS di Asia Barat. Kerajaan Qatar mengecam serangan tersebut dan menegaskan ia melanggar kedaulatan negara itu.
Pangkalan di Qatar sebelum ini pernah menjadi sasaran serangan Iran pada Jun tahun lalu, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan serantau.
Arab Saudi
Di Arab Saudi, beberapa letupan kuat dilaporkan berlaku di Riyadh sejurus selepas serangan di Qatar dan Bahrain. Laporan awal agensi berita antarabangsa menyatakan sistem pertahanan udara negara itu diaktifkan bagi menangkis ancaman peluru berpandu.
Kuwait
Tentera Kuwait memaklumkan bahawa pihaknya berjaya memusnahkan beberapa peluru berpandu yang memasuki ruang udara negara tersebut, tanpa melaporkan sebarang kecederaan atau kerosakan besar setakat ini.
Jordan
Kerajaan Jordan menyatakan bahawa dua peluru berpandu balistik Iran berjaya ditembak jatuh sebelum memasuki kawasan berpenduduk.
Iraq
Sementara itu di Iraq, beberapa roket dilaporkan dipintas di ruang udara berhampiran Konsulat AS di Erbil, menurut laporan media antarabangsa yang memetik sumber keselamatan.
Situasi terkini mencetuskan kebimbangan masyarakat antarabangsa terhadap kemungkinan konflik lebih besar di Asia Barat, dengan beberapa negara menyeru semua pihak agar menahan diri dan kembali ke meja rundingan bagi mengelakkan ketegangan terus memuncak. – AGENSI

