PUTRAJAYA – Penyanyi Syamel menggesa orang ramai membuat aduan melalui saluran yang betul sekiranya terdapat lagu raya yang disifatkan melanggar batas atau tidak sesuai ditayangkan kepada umum.
Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 33, berkata lambakan lagu raya termasuk daripada pempengaruh bukanlah satu isu besar selagi kandungan yang dihasilkan tidak menyalahi norma dan sensitiviti masyarakat.
“Bagi saya, kita tidak terlalu tegas atau ada syarat tertentu untuk orang keluarkan lagu raya termasuk pempengaruh kerana kita hanya meraikannya bila orang keluarkan lagu raya.
“Tapi kalau benda itu tidak bagus untuk ditonton dan melanggar perkara yang tak sepatutnya, sila buat aduan kepada saluran yang betul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media single raya terbaharu berjudul Suasana Raya bersama isterinya, Ernie Zakri, di IOI City Mall, semalam.
Menurut Syamel, peningkatan jumlah lagu raya yang diterbitkan tahun ini memberi lebih banyak pilihan kepada pendengar walaupun mungkin mengelirukan sebahagian pihak.
“Bagi saya tiada masalah kerana kita hanya meraikan lagu raya baharu yang bagus. Pada masa sama, pendengar ada banyak pilihan termasuk dari segi muzik dan video,” katanya.
Mengulas isu sensitiviti apabila ada lagu raya dilancarkan sebelum Ramadan, Syamel berpendapat semua pihak bebas berkarya selagi menghormati nilai dan semangat bulan tersebut.
“Semua orang bebas melakukan apa sahaja asalkan menghormati perkara yang sepatutnya. Masing-masing nak promosikan lagu raya mereka, jadi yang penting kita saling menghormati dan menjaga adab,” katanya.
Syamel turut menegaskan kebebasan berkarya harus disertai dengan tanggungjawab agar semangat dan kesucian Ramadan terus terpelihara. – MYBERITA

