KUALA LUMPUR – Personaliti masakan terkenal, Khairul Aming sempat membuat penafian secara berseloroh ketika berkongsi resipi spaghetti bolognese bagi mengelakkan timbulnya persoalan mengenai keaslian hidangan tersebut.
Menerusi satu hantaran video, beliau menjelaskan bahawa resipi berkenaan bukanlah resipi autentik dari Itali, sebaliknya menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati di kedai runcit tempatan.
Katanya, hidangan tersebut sesuai dijadikan menu ringkas untuk majlis rumah terbuka Aidilfitri.
“Untuk rumah terbuka raya nanti jom kita buat spaghetti bolognese.
“Disclaimer, saya bukan orang Itali, tidak dilahirkan di Itali, dan tidak pernah ke Itali.
“Resipi ini dibuat menggunakan bahan yang jumpa di kedai runcit sahaja. Tiada tomato Itali digunakan dan tiada daging segar digunakan,” katanya.
Tambahnya lagi, dia menggunakan daging beku yang mudah diperoleh dan lebih mesra bajet orang ramai.
“Kita guna daging beku dari freezer kedai runcit sebab ini yang paling sesuai dengan bajet orang ramai. Ini bukan resipi autentik. Try at your own risk,” katanya.
Perkongsian itu dipercayai dibuat susulan perbincangan di media sosial mengenai isu keaslian resipi yang sebelum ini turut membabitkan pempengaruh masakan, Che Sayang.
Terdahulu, video masakan Cottage Pie yang dikongsikan personaliti media sosial Che Sayang, menerima kecaman seorang netizen yang mendakwa penyediaannya tidak kemas selain resipi yang dikongsikan tidak tepat.
Bagaimanapun, ramai netizen tampil mempertahankan pempengaruh berkenaan dengan menyatakan bahawa resipi yang dikongsi adalah mudah, praktikal serta membantu orang ramai menyediakan pelbagai hidangan di rumah tanpa memerlukan bahan mahal atau teknik rumit. -MYBERITA

