JAKARTA – Penyanyi terkenal Indonesia Vidi Aldiano dilaporkan meninggal dunia pada usia 35 tahun selepas enam tahun berjuang melawan penyakit kanser.
Vidi atau nama sebenarnya Oxavia Aldiano menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 4.33 petang waktu tempatan pada hari ke-17 Ramadan dengan ditemani ahli keluarga terdekat.
Berita pemergian penyanyi itu disahkan oleh bapanya, Harry Kriss, yang memaklumkan bahawa keluarga menerima pemergian tersebut dengan penuh reda.
“Vidi meninggal dunia dengan ditemani seluruh keluarga. Kami ikhlas terhadap pemergiannya,” katanya seperti dilaporkan media tempatan.
Allahyarham yang juga suami kepada pelakon Sheila Dara Aisha sebelum ini diketahui menghidap kanser sejak enam tahun lalu.
Sepanjang tempoh berdepan penyakit tersebut, Vidi sering berkongsi perjalanan hidupnya termasuk perubahan dalam cara dia melihat kehidupan.
Menerusi salah satu perkongsian terdahulu, penyanyi lagu Nuansa Bening itu menyifatkan penyakit yang dihidapinya sebagai satu ujian yang mengajarnya untuk lebih bersyukur.
Menurutnya, pengalaman melawan kanser telah mengubah banyak perkara dalam hidup termasuk keutamaan, cara berfikir serta penghargaan terhadap orang di sekelilingnya.
Malah, beliau turut menyatakan bahawa tempoh enam tahun berdepan penyakit tersebut mengajarnya tentang erti kesabaran, keikhlasan dan menerima ketentuan hidup.
Walaupun begitu, Vidi tetap berharap agar diberikan kesembuhan, namun pada masa sama reda dengan setiap ketentuan yang telah ditetapkan.
Pemergian penyanyi berkenaan pada bulan Ramadan turut mengundang rasa sedih dalam kalangan peminat serta rakan selebriti yang mengenali beliau. – MYBERITA

