Sabtu, 31 Oktober 2026 | 01:52:30 am

Jorge Martin kembali selepas kecederaan, sedia hadapi GP Malaysia

SEPANG – Jorge Martin kembali mendapat lampu hijau untuk beraksi apabila pelumba Aprilia itu disahkan cergas menjelang Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Ahad ini.

Pengesahan itu hadir selepas pelumba Sepanyol berkenaan menjalani pemeriksaan perubatan susulan sesi latihan bebas pertama di litar berkenaan, hari ini.

Pengurus pasukan Aprilia, Paolo Bonora berkata, Martin tidak berdepan sebarang masalah untuk meneruskan saingan selepas penilaian lanjut dilakukan oleh pasukan perubatan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

“Selepas sesi latihan bebas pertama yang berlangsung hari ini, Martin menjalani ujian perubatan sekali lagi di pusat perubatan. Di situ, dia diperiksa sama ada cergas ataupun tidak untuk meneruskan saingan.

“Perkembangan terbaharu adalah Martin sudah disahkan cergas dan akan berlumba pada GP Malaysia Ahad ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Bagaimanapun, Martin masih perlu mencari rentak terbaik apabila hanya menduduki tempat ke-20 dalam sesi latihan bebas pertama selepas melengkapkan 12 pusingan.

Kepulangannya ke litar selepas mengalami kecederaan minggu lalu pastinya menjadi tumpuan, terutama selepas kemalangan dalam perlumbaan pecut GP Australia di Litar Phillip Island menyebabkan pergelangan tangannya retak.

Susulan insiden itu, Martin sebelum ini tidak dibenarkan meneruskan perlumbaan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesediaannya untuk beraksi di Sepang. – KOSMO!