KUALA LUMPUR – Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan beberapa lagi berita baik untuk rakyat dalam masa terdekat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pejabat Perdana Menteri Malaysia menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Menurut kenyataan tersebut, pengumuman berkenaan merupakan sebahagian usaha kerajaan bagi memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.
“Ia selaras dengan tekad untuk membina sebuah negara yang lebih adil, sejahtera dan berperikemanusiaan.
“Insya-Allah, Perdana Menteri juga akan mengumumkan beberapa lagi berita baik buat rakyat dalam masa terdekat menjelang sambutan Aidilfitri,” menurut kenyataan itu.
Pengumuman tersebut dibuat selepas Perdana Menteri sebelum ini mengemukakan tujuh langkah intervensi segera bagi membantu meringankan beban rakyat.
Langkah berkenaan digerakkan dengan hasrat memastikan rakyat dapat membuat persiapan menyambut Aidilfitri dengan lebih tenang dan bermakna.
Sebagai imbasan, antara pengumuman utama yang dibuat termasuk pengkreditan awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 yang bermula Selasa, selain penyaluran Bantuan Khas Kewangan 2026 melibatkan penjawat awam, pesara dan veteran.
Bantuan tersebut turut merangkumi golongan lain seperti imam, bilal serta guru KAFA.
Pada masa sama, kerajaan juga mengumumkan peluasan siri Program Jualan Rahmah MADANI di seluruh negara bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.
Selain itu, kerajaan turut memperluaskan inisiatif subsidi tiket penerbangan di bawah program FlySiswa.
Pejabat Perdana Menteri berharap segala bantuan, ikhtiar serta langkah yang diumumkan itu dapat memberi kelegaan kepada rakyat, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup serta membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri. – MYBERITA

