Sabtu, 31 Oktober 2026 | 04:45:24 am

Penjawat awam Pulau Pinang terima bonus sebulan gaji Disember ini

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan RM16.207 juta bagi pembayaran bonus sebulan gaji kepada 7,292 penjawat awam negeri yang dijadualkan menerima manfaat itu pada Disember ini.

Pemberian berkenaan diumumkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ketika membentangkan Belanjawan Pulau Pinang 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Jumaat.

Menurut beliau, insentif itu diberikan sebagai penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi penjawat awam yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pentadbiran serta pembangunan negeri.

“Secara keseluruhannya, pemberian itu melibatkan 7,292 penjawat awam dengan jumlah pembayaran sebanyak RM16.207 juta,” katanya.

Dalam pembentangan sama, kerajaan negeri turut mengumumkan pemberian imbuhan tunai secara sekali bayar sebanyak RM300 kepada beberapa kumpulan tenaga pengajar dan kakitangan institusi pendidikan di Pulau Pinang.

Antara penerima yang layak ialah penyelia dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), selain guru serta kakitangan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR).

Imbuhan sama turut diperluaskan kepada kakitangan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), guru tahfiz, guru pondok serta guru Tadika Islam.

Selain institusi pendidikan agama, guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina di negeri itu turut disenaraikan sebagai penerima bantuan tunai berkenaan.

Pengumuman kedua-dua insentif itu merupakan antara langkah yang digariskan kerajaan negeri menerusi Belanjawan 2027 bagi menyediakan penghargaan kewangan kepada penjawat awam serta kumpulan tenaga pengajar yang terlibat.