KUALA LUMPUR – Menjaga solat Isyak dan Subuh secara berjemaah menjadi antara kunci utama untuk memperoleh kelebihan malam Lailatulqadar.
Pendakwah bebas, Jafri Abu Bakar Mahmud berkata, seseorang itu perlu menghidupkan malam dengan qiamulail tanpa mengabaikan amalan asas yang menjadi kunci utama tersebut.
Menerusi perkongsiaanya di laman sosial, beliau menegaskan bahawa solat Isyak dan Subuh secara berjemaah mempunyai ganjaran pahala yang besar seperti yang disebut dalam hadis.
“Solat Isyak dan Subuh berjemaah, itu antara kunci paling awal.
“Nabi menyebutkan siapa yang solat Isyak secara berjemaah maka pahala baginya seperti dia berqiamulail separuh malam dan siapa yang solat Subuh secara berjemaah maka pahala baginya seperti berqiamulail seluruh malam,” katanya.
Menurutnya, sesiapa yang menjaga kedua-dua solat tersebut berpeluang memperoleh keberkatan malam Lailatulqadar sekiranya malam tersebut berlaku pada hari berkenaan.
“Maka siapa yang jaga Isyak dan Subuh berjemaah ini, kalau malam itu Lailatulqadar, nescaya dia sudah melalui dan mendapat manfaat daripada malam penuh rahmat itu.
“Rugi sangat kalau terlepas kunci utama ini. Tolong jaga sampai akhir Ramadan dan sambung selepas Ramadan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menitipkan pesanan agar umat Islam terus mengekalkan amalan solat berjemaah bukan sahaja sepanjang Ramadan, malah diteruskan selepas bulan tersebut berakhir. -MYBERITA

