KUALA LUMPUR – Wanita yang sedang haid dibolehkan hadir ke masjid ketika berlangsungnya solat sunat Hari Raya bagi bersama-sama mendengar khutbah dan meraikan suasana sambutan Aidilfitri atau Aidiladha.
Penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus berkata, walaupun wanita dalam keadaan haid tidak dibenarkan menunaikan solat, mereka tetap disunatkan untuk hadir ke masjid bagi mengambil keberkatan serta berhimpun bersama jemaah lain.
Menurutnya, perkara itu turut disebut dalam hadis yang menggalakkan wanita keluar menghadiri solat sunat hari raya.
“Nabi sudah sebut, orang perempuan jika tiada tudung bagi dia tudung. Jika dia datang bulan pun disuruh atau disunatkan datang ke masjid ketika solat raya.
“Bukan suruh solat, tetapi ambil barakah dan sama-sama berhimpun mendengar khutbah hari raya. Hebatnya solat sunat raya ini,” katanya menerusi satu perkongsian ceramah yang tular di media sosial.
Beliau menjelaskan, wanita yang sedang haid tetap tidak dibenarkan menunaikan solat, namun mereka boleh berada di kawasan masjid bagi mendengar khutbah serta meraikan suasana hari raya.
“Jika wanita kedatangan darah, ia tetap darah dan memang tidak dibenarkan untuk solat bersama. Jangan masuk di dalam masjid, tetapi duduk di kawasan masjid dan dengar khutbah,” katanya.
Ustaz Azhar menegaskan bahawa walaupun hukum asal larangan solat bagi wanita haid tetap sama, keistimewaan solat raya terletak pada semangat perhimpunan untuk mengimarahkan dan meraikan hari kemenangan tersebut di kawasan masjid. -MYBERITA

