PUCHONG – Program Kembara dan Singgah Sahur anjuran Pertubuhan Sinar Amal Komuniti (OGCC) menjadi platform menyantuni golongan memerlukan apabila sukarelawan dan wakil agensi turun padang menziarahi rumah penerima bantuan di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekaligus membantu meringankan beban harian mereka, di sini pada Ahad.
Program itu juga turut menyampaikan juadah sahur serta sumbangan keperluan asas secara langsung kepada penerima bantuan berpendapatan rendah terdiri daripada 10 buah rumah melibatkan penerima warga emas sebatang kara, pesakit terlantar serta orang kurang upaya (OKU).
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Diana Loh Chiew, berkata program tersebut bukan sahaja memberi bantuan makanan, malah membuka ruang kepada pihaknya memahami dengan lebih dekat situasi sebenar penerima bantuan.
“Melalui program seperti ini, kami dapat turun padang melihat sendiri keadaan penerima bantuan selain memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima sokongan kebajikan yang sepatutnya, khususnya sepanjang Ramadan,” katanya ketika ditemui MYBERITA.
Menurutnya, antara penerima yang disantuni merupakan penerima skim bantuan penjagaan pesakit kronik atau terlantar, bantuan OKU tidak berupaya bekerja, bantuan Am serta bantuan peratalan termasuk kerusi roda.
Sementara itu, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Zon 14, Kamarul Hafiz Kamarudin, berkata program berkenaan mencerminkan semangat kebersamaan antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat.
“Program ini membuktikan bahawa masyarakat masih mempunyai nilai empati yang tinggi. Kehadiran sukarelawan pada waktu sahur memberi mesej bahawa golongan memerlukan tidak dilupakan,” katanya.
Dalam pada itu, wakil komuniti yang juga pengasas Paklang Pasar Segar Puchong, berkata pihaknya sentiasa menyokong usaha kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Apabila kita berganding bahu membantu golongan memerlukan, sedikit sumbangan yang diberikan mampu memberi makna besar kepada kehidupan mereka,” katanya.
“Kadangkala mereka hanya memerlukan perhatian dan kehadiran masyarakat. Apabila kita menyantuni mereka secara bersemuka, ia memberi semangat baharu dan membuatkan mereka rasa dihargai,” katanya.
Program Kembara Sahur itu turut melibatkan kerjasama Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Seri Serdang, JKM Subang Jaya, sukarelawan JKM dari Subang Jaya, Sepang dan Shah Alam, Paklang Pasar Segar serta Surau Ar Raayah.
Secara keseluruhannya, program tersebut bukan sahaja bertujuan menyampaikan bantuan kepada penerima bantuan yang memerlukan, malah berperanan memperkukuh jaringan keselamatan sosial serta memupuk semangat empati dalam kalangan masyarakat. – MYBERITA

