KUALA LUMPUR – Tular di media sosial apabila seorang pengguna mempersoalkan corak pada sejadah keluaran jenama Naelofar yang didakwa mempunyai imej tersembunyi menyerupai kepala kambing, simbol yang sering dikaitkan dengan Baphomet dalam kepercayaan Satanism.
Perkara itu mula menjadi perbualan selepas individu berkenaan memuat naik hantaran di platform Threads dan bertanya kepada pelanggan lain sama ada mereka turut menemui corak sama pada sejadah yang dibeli.
Menurutnya, apabila diperhatikan dengan lebih teliti, corak pada sejadah tersebut seolah-olah membentuk imej kepala kambing yang didakwa sebagai logo halus tersembunyi.
Hantaran tersebut kemudian mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial. Ada yang turut cuba meneliti corak sejadah berkenaan, manakala sebahagian lagi berpendapat ia mungkin sekadar kebetulan hasil daripada susunan motif rekaan.
Seorang pengguna turut menjelaskan bahawa perkara seperti itu boleh berlaku secara tidak sengaja ketika proses menghasilkan corak yang kompleks, terutama apabila motif disusun secara simetri atau berulang.
“Usually cara designer buat pattern ni dia illustrate satu side je dulu. Contoh artboard A3, dia buat half je A3 tu. Then side lagi satu dia flip atau mirror artwork tu untuk complete the pattern,” katanya.
Susulan itu, pihak Naelofar tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan tersebut dan menafikan terdapat simbol berkaitan amalan pemujaan syaitan pada produk mereka.
Menurut mereka, rekaan sejadah berkenaan dihasilkan sepenuhnya berdasarkan elemen seni dan motif hiasan biasa tanpa sebarang niat atau unsur tersembunyi seperti yang didakwa.Â
Penjelasan itu dibuat bagi meredakan kekeliruan dalam kalangan pelanggan serta menegaskan bahawa dakwaan yang tular di media sosial tersebut adalah tidak berasas. -MYBERITA

