KUALA LUMPUR – Peguam dan pempengaruh, Tun Laila tampil berkongsi penjelasan mengenai langkah undang-undang yang boleh diambil oleh mangsa penipuan bagi mendapatkan semula wang mereka, susulan ramai yang masih keliru mengenai proses sebenar selepas membuat laporan polis.
Menerusi satu perkongsian di media sosial, Tun Laila menjelaskan bahawa tindakan jenayah terhadap individu yang melakukan penipuan tidak semestinya bermakna mangsa akan menerima semula wang yang telah hilang.
Menurutnya, sekiranya pelaku didapati bersalah di mahkamah dan dikenakan denda, wang denda tersebut akan disalurkan kepada kerajaan, bukannya kepada mangsa yang terlibat.
“Ramai orang ingat apabila pelaku ditangkap dan didenda, mangsa akan dapat semula duit mereka. Sebenarnya duit denda itu akan masuk ke akaun kerajaan, bukan kepada mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai menghadiri urusan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya sebelum berkongsi penjelasan tersebut kepada orang ramai.
Tambahnya, bagi mangsa yang ingin mendapatkan semula wang yang telah ditipu, tindakan yang lebih sesuai adalah dengan memfailkan saman sivil di mahkamah.
Menurutnya, saman sivil membolehkan mangsa menuntut kembali hak mereka secara langsung daripada individu yang melakukan penipuan.
“Kalau tujuan utama adalah untuk mendapatkan kembali wang yang hilang, tindakan saman sivil adalah langkah yang lebih tepat. Laporan polis pula boleh dijadikan sebagai dokumen sokongan dalam kes tersebut,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menjelaskan bahawa dalam kes jenayah, pihak pendakwa raya masih boleh memohon pampasan kepada mahkamah bagi pihak mangsa.
Namun jelasnya, jumlah pampasan yang diberikan tidak semestinya sama dengan jumlah kerugian sebenar kerana ia tertakluk kepada keputusan mahkamah.
Perkongsian tersebut dibuat bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pilihan undang-undang yang boleh diambil sekiranya menjadi mangsa penipuan. -MYBERITA

