KUALA LUMPUR – Pelawak terkenal, Mamat Sepah, menerima teguran ramai selepas memuat naik video berseloroh mengenai golongan yang dibenarkan berbuka puasa ketika berdepan situasi darurat.
Dalam hantaran di Threads, pemilik nama Mohd Noor Murad, 40, dilihat memandu sambil mendengar ceramah agama daripada seorang ustaz mengenai individu yang dibenarkan untuk berbuka puasa.
Video itu turut memaparkan tin minuman yang diletakkan di poketnya.
“Saya kalau pesanan ustaz, memang tak berani nak lawan,” kata Mamat dalam video berkenaan.
Bagaimanapun, aksi berselorohnya itu menimbulkan rasa kurang senang warganet yang menegur tindakan pelawak itu.
Mereka berpendapat perbuatan sedemikian boleh memberi gambaran negatif terhadap syariat dan hukum Islam serta menjejaskan imej kesucian bulan Ramadan.
Warganet menasihatkan agar Mamat lebih berhati-hati dan tidak menjadikan isu ibadah sebagai bahan jenaka, sebaliknya menghormati nilai dan kesucian bulan Ramadan. – MYBERITA

