SHAH ALAM – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan mesej dan visual yang tular mendakwa tarif elektrik akan meningkat bermula April, yang disifatkan berpotensi mengelirukan orang ramai.
Dalam kenyataan rasmi pada Rabu, TNB menegaskan bahawa sebarang pelarasan kos elektrik kini tertakluk kepada Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) yang dilaksanakan sejak Julai 2025.
“Kadar AFA ditentukan berdasarkan perubahan harga bahan api global serta kadar pertukaran mata wang asing dan diselaraskan secara bulanan melalui pengesahan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).
“Sebarang perubahan akan diumumkan secara rasmi oleh TNB melalui saluran sah,” jelas TNB.
TNB turut menegaskan komitmen untuk memastikan pengguna menerima maklumat yang tepat dan telus.
Dalam usaha membendung penyebaran maklumat palsu, TNB akan melaporkan isu ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan dan merujuk hanya kepada pengumuman rasmi daripada TNB.
Mereka juga digalakkan menyemak kesahihan kandungan sebelum berkongsi bagi mengelakkan kekeliruan. – MYBERITA

