KUALA LUMPUR – Pasangan sensasi Fattah Amin dan Amira Othman mengakui masih memerlukan masa sebelum mengulas lanjut mengenai dakwaan penyanyi itu sedang menyorokkan kehamilan pertama mereka.
Fattah berkata, mereka memilih menunggu waktu yang sesuai untuk berkongsi perkara berkenaan, namun tetap menghargai keprihatinan ramai.
Menurutnya, perkara baik tidak akan disorokkan dan masa untuk berkongsi akan tiba apabila mereka sudah bersedia. Beliau turut mengharapkan peminat dan rakan media mendoakan yang terbaik agar segala urusan dipermudahkan.
“Seperti yang kami katakan sebelum ini, Insya-Allah masa itu akan sampai. Sama ada cepat atau lambat, masa itu akan tiba apabila kami sudah bersedia untuk berkongsi.
“Buat masa ini, belum sampai lagi. Harap semua bersabar. Jangan risau, perkara baik tidak akan kami sorok. Jika ada berita gembira, kami akan maklumkan.
“Kami juga berharap peminat dan rakan media mendoakan yang baik-baik supaya segala urusan dipermudahkan,” katanya.
Fattah turut bersyukur apabila segelintir pihak menyifatkan dirinya lebih ceria dan ‘glowing’ sejak mendirikan rumah tangga bersama Amira.
“Alhamdulillah jika dilihat dari segi fizikal, saya nampak lebih sihat. Jika perkara baik diperkatakan oleh peminat, kami ucapkan terima kasih. Teruskan mendoakan dan berkata yang baik-baik kepada kami,” tambahnya.
Sementara itu, Amira memilih untuk kekal positif dalam menghadapi spekulasi kehamilan yang dianggap sebagai lumrah kehidupan selebriti.
“Perkara ini saya sudah banyak kali kongsikan. Sebelum berkahwin, orang bertanya bila hendak kahwin. Selepas berkahwin, orang menantikan berita seterusnya. Spekulasi seperti ini adalah perkara biasa bagi kami sebagai anak seni.
“Jika ada berita baik, saya pasti akan berkongsi. Jika saya memilih untuk tidak mengulas, bermakna kami sudah memikirkan waktu yang sesuai,” katanya.
Amira berkata, beliau yakin peminat memahami dan menghormati keputusan mereka, serta berharap agar semua mendoakan yang baik untuk mereka.
Dalam pada itu, pasangan berkenaan turut merakamkan penghargaan terhadap peminat yang sentiasa memberikan komen positif, termasuk memuji penampilan Amira yang semakin berseri sejak kebelakangan ini. -MYBERITA

