KUALA LUMPUR – Kemeriahan sambutan Aidilfitri tahun ini membawa makna tersendiri buat lapan beradik apabila ibu mereka menghadiahkan barang kemas miliknya yang dianggarkan bernilai ratusan ribu ringgit sebagai tanda kasih sayang.
Menerusi satu hantaran tular di TikTok, seorang ibu membuat kejutan dengan mengagihkan barang perhiasannya kepada semua anak sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Suzana Ramlan berkata, pada asalnya mereka merancang untuk bermain permainan tukar hadiah pada malam raya pertama sebelum memaklumkan perkara itu kepada ibunya.
Menurutnya, ibunya secara spontan meluahkan hasrat untuk mengagihkan barang kemas yang sudah lama tidak dipakai kepada kesemua anak.
“Mak memang sudah lama berniat untuk memberikan barang kemas kepada kami adik-beradik kerana sudah tidak memakainya, tambahan pula keadaan kesihatan mak tidak lagi seperti dahulu.
“Mak masukkan semua barang kemas dalam sampul surat dan kami buat cabutan nombor seperti cabutan bertuah pada malam raya pertama,” katanya.
Suzana yang merupakan anak kelima berkata, nilai barang kemas tersebut dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit dan diagihkan secara adil serta seimbang kepada setiap anak.
“Walaupun ada yang nampak kecil tetapi padat, mak memang pastikan pembahagian sama rata. Malah, mak sanggup membeli dua gelang tambahan untuk cukupkan lapan bahagian,” ujarnya.
Tambahnya, semua adik-beradik sepakat untuk menyimpan barang kemas tersebut kerana mempunyai nilai sentimental yang tinggi dan menjadi kenangan kasih sayang ibu.
“Ini bukan sekadar emas, tetapi tanda kasih mak kepada kami. Kami akan simpan sebaiknya,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut tumpang gembira dengan rezeki yang diterima keluarga tersebut.
“Masya-Allah, hebatnya seorang ibu yang sanggup menghadiahkan barang paling disayanginya kepada anak-anak sebagai tanda kasih sayang,” komen seorang pengguna.
Perkongsian momen tersebut di TikTok hanya untuk kenangan keluarga, namun tidak disangka mendapat perhatian ramai sehingga meraih lebih 400,000 tontonan. -MYBERITA
