KUALA LUMPUR – Harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh 9 hingga 15 April dilaporkan meningkat kepada RM6.72 seliter berbanding RM6.02 sebelum ini, susulan tekanan berterusan dalam pasaran tenaga global.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa harga petrol RON97 tanpa subsidi turut meningkat kepada RM5.35 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi naik kepada RM4.27 seliter.
Menurut kementerian itu, kenaikan harga bahan api berkenaan dipengaruhi oleh lonjakan harga minyak mentah global sejak lima minggu lalu, didorong oleh krisis tenaga di Asia Barat yang meningkatkan kos petroleum serta kos berkaitan termasuk logistik dan insurans.
“Walaupun terdapat penurunan harga minyak mentah global hari ini berikutan pengumuman gencatan senjata, kesannya tidak serta-merta diterjemahkan kepada penurunan harga runcit bahan api di Malaysia.
“Ini kerana harga pam di negara ini ditentukan berdasarkan purata harga petrol dan diesel minggu sebelumnya dan bukannya harga semasa,” menurut kenyataan itu.
Tambah kementerian, harga semasa masih mencerminkan kos bekalan yang tinggi sepanjang tempoh lima minggu lalu ketika pasaran global berada pada paras lebih tinggi.
“Ia telah mencecah sekitar AS$150 setong bagi produk petrol dan AS$250 setong bagi produk diesel, sekali gus terus mempengaruhi harga runcit di dalam negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, kerajaan menegaskan bahawa harga bahan api bersubsidi secara bersasar masih dikekalkan bagi melindungi rakyat dan sektor tertentu.
RON95 menerusi program Budi Madani (Budi95) kekal pada RM1.99 seliter, manakala harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan juga tidak berubah pada RM2.15 seliter. – MYBERITA

