KUALA LUMPUR – Tiada angin, tiada ribut, pelakon Syida Melvin dilaporkan telah memfailkan perceraian terhadap suaminya, Syafiq Azim di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Disember tahun lalu.
Perkara itu disahkan peguam yang mewakili Syida, Nurul Jamaliah menerusi laporan mStar.
Menurutnya, prosiding kes rumah tangga pasangan tersebut kini masih berjalan di mahkamah, dengan sebutan pertama telah diadakan pada 2 April lalu.
“Syida memfailkan perceraian pada Disember tahun lalu, namun sebutan pertama hanya berlangsung awal bulan ini.
“Sebelum ini, perbicaraan pernah ditangguhkan bagi memberi ruang kepada usaha pendamaian antara kedua-dua pihak,” katanya.
Bagaimanapun, usaha tersebut tidak berhasil apabila Syida dilaporkan tetap dengan pendiriannya untuk meneruskan penceraian.
“Penangguhan dibuat dengan niat untuk berdamai, namun Syida nekad meneruskan proses perceraian,” jelasnya lagi.
Untuk rekod, Syida atau nama sebenarnya Nur Syifa Assyidda Amirol Melvin, 29, mendirikan rumah tangga bersama Mohamad Syafiq Azim Shaheen, 37, pada 19 Januari 2019.
Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Safa Safeera, Sara Sajedda dan Serhan Isa.

