KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan liputan rangkaian 5G di seluruh negara mencapai 98 peratus menjelang tahun 2030 bagi mempercepat transformasi digital negara serta memperkukuh penggunaan teknologi baharu dalam pelbagai sektor ekonomi.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sasaran itu mampu direalisasikan berdasarkan perkembangan teknologi semasa yang membolehkan rangkaian 5G diperluaskan ke lebih banyak kawasan di seluruh negara.
Menurut beliau, liputan 5G di Malaysia ketika ini telah melepasi 80 peratus, manakala liputan rangkaian 4G berada pada tahap 84 peratus.
“Dari segi teknologi, kita melihat kemampuan dan keupayaan 5G dalam memberikan akses internet yang lebih menyeluruh dan cepat,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Advanced Intelligent Warehouse oleh CelcomDigi, hari ini.
Beliau berkata, teknologi 5G bukan sahaja meningkatkan capaian internet kepada pengguna, malah berpotensi mengubah landskap industri menerusi penggunaan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI), automasi dan analitik data yang memerlukan sambungan rangkaian lebih pantas serta stabil.
Katanya, penggunaan teknologi 5G mampu meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi khususnya dalam sektor logistik, perkilangan dan pengurusan gudang pintar.
Dalam perkembangan sama, Fahmi menyifatkan CelcomDigi sebagai antara peneraju dalam usaha memperluaskan penggunaan 5G di Malaysia dan berharap lebih banyak syarikat telekomunikasi mengambil langkah proaktif bagi mempercepatkan pembangunan infrastruktur rangkaian tersebut.
“Saya melihat penggunaan teknologi 5G Standalone (5G SA) yang dipelopori CelcomDigi dapat memberikan banyak manfaat, terutama sekali dalam kerja-kerja di dalam gudang.
“Dalam pada itu, saya telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berbincang bukan sahaja dengan CelcomDigi, malah syarikat telekomunikasi lain bagi memperluas penggunaan aplikasi yang memanfaatkan teknologi 5G,” katanya.
Beliau menegaskan kerjasama erat antara kerajaan, pengawal selia dan pemain industri penting bagi memastikan manfaat teknologi 5G dapat dinikmati secara meluas oleh rakyat serta komuniti perniagaan di seluruh negara.

