KUALA LUMPUR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyaran ibu bapa agar lebih peka terhadap barangan peribadi yang dibawa oleh anak-anak mereka susulan kewujudan tumbler atau botol air yang mempunyai ruang rahsia untuk menyembunyikan barangan terlarang seperti rokok elektronik (vape).
Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Siti Mariam Mursidan berkata, walaupun dasar kerajaan berhubung penggunaan vape masih belum dimuktamadkan, penggunaan peralatan itu dalam kalangan generasi muda khususnya pelajar perlu terus dibendung.
Menurut beliau, penggunaan vape berpotensi menjadi pintu masuk kepada gejala penagihan yang lebih serius.
“Kita sebagai agensi pencegahan berpendapat penggunaan vape perlu disekat dari awal kerana penagihan dadah biasanya bermula daripada perbuatan merokok dan vape.
“Ibu bapa perlu tahu apa yang anak mereka lakukan dan bawa bersama. Komunikasi sangat penting, jangan sampai masing-masing terlalu leka dengan gajet sehingga mengabaikan pemantauan terhadap anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah Peringkat Terengganu yang berlangsung di Bandar Al Wathiqu Billah Shah, hari ini.
Siti Mariam mengulas mengenai penularan video di media sosial yang memaparkan kewujudan tumbler bukan sahaja berfungsi sebagai bekas minuman, malah mempunyai ruang tersembunyi yang boleh digunakan untuk menyimpan barangan larangan termasuk vape dan telefon bimbit.
Terdahulu, seorang pempengaruh mendedahkan penggunaan tumbler berkenaan dalam kalangan segelintir pelajar sekolah selepas ia dikesan oleh seorang guru sekolah menengah di Lembah Klang.
Mengulas lanjut, beliau berkata pemantauan ibu bapa tidak seharusnya dilihat sebagai tindakan mengongkong anak-anak remaja, sebaliknya merupakan pendekatan terbaik untuk membimbing mereka agar tidak terjebak dengan gejala tidak sihat termasuk penyalahgunaan dadah.
Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa kakitangan AADK terus memainkan peranan proaktif dengan mendekati pelajar sekolah di seluruh negara melalui pelbagai program pendidikan dan pencegahan.
Katanya, usaha berterusan itu penting bagi memastikan golongan muda tidak terpengaruh untuk mencuba aktiviti yang boleh membawa kepada penyalahgunaan bahan terlarang, termasuk merokok dan menghisap vape.

