JOHOR BAHRU – Bekas pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, M. Murugan mengumumkan keluar daripada parti itu bersama kira-kira 200 penyokongnya untuk menyertai MIC Bahagian Iskandar Puteri, sekali gus menyifatkan keputusan tersebut sebagai kepulangan semula ke parti yang pernah menjadi medan perjuangannya sebelum ini.
Murugan berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan PKR di peringkat negeri dan Pusat yang didakwanya gagal memberi perhatian serius terhadap pelbagai aduan yang dikemukakan sejak sekian lama.
“Saya telah berkhidmat dalam PKR selama 19 tahun dan merupakan antara ahli paling lama di PKR Cabang Iskandar Puteri. Saya pernah menjadi Ketua Cabang serta calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh pada 2013 dan DUN Layang-Layang pada 2018.
“Namun hari ini saya membuat keputusan meninggalkan PKR dan kembali kepada MIC selepas hampir 20 tahun. Saya ibarat pulang ke pangkuan asal perjuangan politik demi masyarakat India,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengetuai kira-kira 200 bekas ahli PKR menyerahkan borang permohonan menyertai MIC di Dewan Taman Nesa, Skudai.
Turut hadir ialah Pengerusi MIC Cawangan Camp Village, Datuk T. Mohan serta calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Skudai, Nicole Tan Hiang Kee.
Menurut Murugan yang lebih dikenali sebagai Cikgu Rony, gelombang keluar parti itu bukan hanya melibatkan kumpulan yang menyertai MIC, sebaliknya seramai 350 ahli PKR Cabang Kota Iskandar dilaporkan meninggalkan parti dengan memilih pelbagai haluan politik.
“Sebenarnya yang keluar parti seramai 350 terdiri daripada India, Melayu dan Cina. Ada antara mereka menyertai UMNO, MCA, Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan ada juga yang terus berhenti daripada aktif dalam politik.
“Namun majoritinya masyarakat India iaitu seramai 200 orang menyertai MIC. Saya akan mengajak lebih ramai lagi ahli PKR di seluruh Johor untuk menyertai MIC kerana ini satu-satunya parti yang memperjuangkan hak dan kebajikan kami,” katanya.
Sementara itu, Mohan menyifatkan penyertaan bekas ahli PKR berkenaan sebagai petanda sokongan yang semakin meningkat terhadap MIC di Johor.
Beliau berkata, penyertaan beramai-ramai itu bukan kejadian terpencil kerana beberapa program penyerahan borang keahlian turut diadakan di negeri itu sebelum ini, termasuk di Kulai minggu lalu.
“Ini bukan perkara terpencil, sebaliknya ada beberapa majlis sama telah dilakukan di Johor sebelum ini termasuklah di Kulai minggu lalu. Sejak awal tahun ini, MIC dianggarkan telah menerima seramai 30,000 keahlian baharu.
“Ini menjadikan keanggotaan MIC di seluruh negara kini melebihi 350,000 orang,” katanya.


