KUALA LUMPUR – Selepas sekian lama menyulam kasih, Ketua Pegawai Bahagian Operasi Berita dan Hal Ehwal Semasa MYBERITA akhirnya menamatkan zaman bujang apabila selamat diijabkabulkan dengan wanita pilihan hatinya, Nur Aleeya Antasha Yuseri, 25, dalam sebuah majlis akad nikah di kediaman keluarga pengantin perempuan di Meru Raya, Ipoh pada 26 Jun lalu.
Nur Aleeya yang bertugas sebagai penyelia di sebuah syarikat swasta tampil anggun dalam persalinan serba indah, manakala pengantin lelaki segak bergaya sekali gus menyerlahkan seri raja sehari yang menjadi perhatian tetamu.

Berkongsi detik selepas sah bergelar suami, beliau mengakui pelbagai emosi bermain di fikiran sebaik lafaz akad disempurnakan.
“Perasaan saya bercampur baur. Semestinya gembira dan terharu apabila perkenalan ini akhirnya disempurnakan dengan ikatan perkahwinan yang telah kami nantikan sejak sekian lama.
“Dalam masa yang sama, saya turut berdebar kerana menyedari perkahwinan ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang besar untuk dipikul sebagai seorang suami serta ketua keluarga.
“Apa pun, saya amat bersyukur dengan segala nikmat dan kurniaan yang diizinkan Allah SWT kepada kami,” katanya kepada MYBERITA.
Menurut beliau, perkahwinan bukan sekadar penyatuan dua hati, malah menjadi titik permulaan kepada sebuah perjalanan baharu yang menuntut kesetiaan, kepercayaan serta komitmen dalam membina kehidupan berumah tangga.
Walaupun kini memikul tanggungjawab sebagai seorang suami, beliau berazam untuk terus memberikan komitmen terbaik dalam kerjaya di samping memastikan keluarga sentiasa menjadi keutamaan.

Pasangan mempelai kemudiannya diraikan dalam majlis persandingan yang berlangsung meriah di Ayubella Wedding Hall, Ipoh dengan kehadiran ahli keluarga, saudara-mara serta kenalan rapat yang bersama-sama berkongsi detik bahagia mereka.
Momen indah pasangan itu turut menerima limpahan ucapan tahniah daripada ahli keluarga, rakan-rakan serta warga industri media yang mendoakan agar rumah tangga dibina kekal bahagia, dipenuhi kasih sayang dan sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT.
Bermula dengan sebuah perkenalan yang akhirnya disatukan melalui ikatan suci, pasangan berkenaan kini melangkah ke fasa baharu kehidupan dengan impian membina sebuah keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah.

