SHAH ALAM – Penyanyi dan komposer, Firdaus Rahmat, 28 mengakui terlalu sibuk menghasilkan karya untuk penyanyi lain sehingga menyebabkan perancangan melancarkan lagu baharu miliknya sendiri tertangguh.
Pelantun lagu Test Drive itu berkata, fokusnya kini lebih terarah kepada kerja-kerja produksi muzik di belakang tabir, namun tetap berhasrat untuk kembali aktif sebagai penyanyi dengan mempertaruhkan sekurang-kurangnya sebuah single baharu tahun ini.
Menurut Firdaus, beliau sebenarnya merancang untuk berehat daripada membuat persembahan sepanjang tahun ini sebelum menerima jemputan mengadakan persembahan di sebuah acara universiti.
“Sebenarnya ini persembahan pertama saya untuk tahun ini. Saya ingatkan nak berehat sekejap daripada menyanyi sebab sibuk dengan music production, banyak buat lagu untuk artis lain. Tapi bila dapat tawaran ini, saya rasa ia satu peluang yang baik untuk kembali menyanyi. Saya gembira dapat naik pentas semula,” katanya ketika ditemui selepas membuat persembahan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana, baru-baru ini.
Firdaus berkata, antara projek yang sedang disiapkannya termasuk menghasilkan lagu untuk beberapa penyanyi terkenal tanah air.
“Baru sahaja selesai lagu untuk Umairah dan juga lagu Tok Ti. Selain itu ada beberapa lagi projek bersama artis lain yang sedang berjalan. Memang sekarang banyak masa saya dihabiskan menghasilkan lagu untuk orang lain,” katanya.
Mengulas mengenai pertanyaan peminat yang merindui kemunculan lagu baharunya, Firdaus mengakui beliau berdepan dilema memilih karya paling sesuai untuk diterbitkan.
“Memang banyak karya saya yang sudah siap dan ada juga yang masih dalam proses. Saya cuma masih dilema nak pilih lagu yang mana sesuai untuk dikeluarkan dahulu. Insya-Allah kalau diizinkan Allah dan ada rezeki, saya akan keluarkan sekurang-kurangnya satu lagu tahun ini,” katanya.

