Isnin, 13 Julai 2026
spot_img
PelbagaiWalau dikecam, logo rasmi Tahun Melawat Terengganu 2027 kekal

Walau dikecam, logo rasmi Tahun Melawat Terengganu 2027 kekal

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu memutuskan untuk mengekalkan logo rasmi Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2027 meskipun reka bentuknya menerima kritikan daripada orang ramai, khususnya netizen di media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, dakwaan bahawa logo tersebut meniru atau mengitar semula logo TMT 2007 adalah tidak berasas kerana kerajaan negeri sememangnya berhasrat mengangkat semula elemen ikonik yang telah lama sinonim dengan negeri itu.

Menurut beliau, logo TMT 2027 merupakan penambahbaikan daripada logo terdahulu dengan mengekalkan elemen utama iaitu imej penyu, yang menjadi simbol penting identiti pelancongan Terengganu.

“Logo itu tidak akan diubah. Kita akan kekalkan reka bentuk sedia ada, cuma mungkin terdapat sedikit penambahbaikan dari segi teknikal seperti warna atau tulisan pada logo berkenaan.

“Saya mahu mengangkat semula logo tersebut kerana sebelum ini ia berjaya menjadikan Terengganu lebih dikenali oleh masyarakat dan pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup Festival Terengganu Klasik 2.0 2026 (FTK 2026) di Kuala Terengganu.

Sebelum ini, logo rasmi TMT 2027 yang diumumkan pada Khamis lalu mengundang pelbagai reaksi di media sosial apabila sebahagian netizen dan pereka grafik profesional berpendapat reka bentuknya kurang menarik serta tidak menampilkan pembaharuan yang ketara berbanding logo terdahulu.

Mengulas lanjut, Razali menjelaskan bahawa imej penyu yang menjadi latar utama logo berkenaan telah diberi nafas baharu agar lebih sesuai dengan perkembangan semasa tanpa menghilangkan identiti asalnya.

Beliau berkata, imej penyu dalam logo terkini telah dibentuk semula serta diperkemaskan dengan penggunaan warna yang lebih segar, sekali gus memberikan gambaran seolah-olah penyu tersebut sedang bergerak ke hadapan sebagai simbol kemajuan dan perkembangan industri pelancongan negeri.

Kerajaan Negeri Terengganu berharap pengekalan identiti ikonik tersebut mampu memperkukuhkan lagi jenama pelancongan negeri menjelang kempen Tahun Melawat Terengganu 2027.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-