Isnin, 13 Julai 2026
spot_img
AJL40Hazama tolak gimik di AJL40, pilih konsep 'less is more'

Hazama tolak gimik di AJL40, pilih konsep ‘less is more’

KUALA LUMPUR – Finalis Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40), Hazama, memilih pendekatan ‘less is more’ apabila bakal mempertaruhkan lagu Semacam Pandora di pentas akhir Ogos ini dengan mengetepikan sebarang gimik demi memberi ruang kepada kekuatan lagu dan vokalnya menjadi perhatian utama.

Penyanyi berusia 41 tahun itu berkata, selepas tujuh penyertaan terdahulu menyaksikannya bereksperimen dengan pelbagai konsep persembahan, kali ini beliau mahu tampil lebih tenang dan matang.

“Saya punya persediaan AJL tahun ini agak santai dan berserah. Tujuh tahun sebelum ini saya dah cuba macam-macam.

“Jadi mungkin kali yang kelapan ini saya nak cuba konsep less is more. Relaks sikit dan mungkin nak tunjukkan sisi kematangan saya dalam industri muzik,” katanya kepada MYBERITA.

Menurut Hazama, beliau enggan menggunakan gimik yang keterlaluan kerana tidak mahu ia menenggelamkan mesej dan kekuatan lagu yang dipersembahkan.

“Saya tak nak gimik itu mengganggu lagu saya. Saya nak orang ingat persembahan saya di AJL sebab lagu dan nyanyian saya.

“Bukan sebab saya ada gimik-gimik berlebihan atau perkara lain. Saya nak orang fokus kepada lagu,” katanya.

Mengulas persaingan AJL40, Hazama mengakui edisi kali ini sukar dijangka berikutan perubahan cita rasa pendengar selain kemunculan ramai bakat baharu yang semakin menyerlah.

“Sekarang ini ramai budak baharu yang dah ‘catch up’. Contohnya Aisha Retno, Amir Masdi dan Ryenald Guntabid.

“Jadi kita tak boleh nak jangka siapa akan jadi juara. Dulu orang fikir lagu yang kuat vokal saja boleh menang, tetapi sekarang lagu yang santai pun boleh jadi juara sebab pertandingan ini tentang lagu, bukan semata-mata penyanyi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hazama berkata beliau masih memberi fokus mempromosikan lagu-lagu daripada album yang diterbitkan dua tahun lalu sebelum merancang menghasilkan album baharu pada tahun hadapan.

“Sekarang saya tengah promosikan lagu-lagu dalam album saya. Kalau ada lagu baharu, insya-Allah tahun depan saya cuba keluarkan album.

“Bagi saya, kepentingan seorang penyanyi ialah perlu ada album. Barulah kita benar-benar diklasifikasikan sebagai penyanyi kerana kalau hanya ada single, saya rasa ia tak cukup untuk zaman sekarang,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-