KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mendakwa isterinya yang sedang hamil 38 minggu diperlakukan seperti penjenayah selepas ditahan oleh kakitangan sebuah pasar raya di Selayang kerana disyaki menyembunyikan barangan curi di dalam perutnya.
Dakwaan itu dikongsikan menerusi hantaran di platform Threads oleh pengguna dikenali sebagai @Fareezshah10 yang menceritakan pengalaman dialaminya bersama isteri selepas selesai membuat pembayaran di kaunter.
Menurutnya, mereka dihentikan oleh seorang kakitangan lelaki yang kemudian memandang ke arah perut isterinya sebelum bertanya sama ada wanita itu menyembunyikan barangan di dalam perutnya.
Lelaki berkenaan berkata, dia meminta pihak pasar raya mengemukakan bukti bahawa isterinya melakukan kesalahan mencuri, namun mendakwa kakitangan terbabit sebaliknya meminta Buku Pink sebagai bukti kehamilan sebelum mengarahkan isterinya menunjukkan bahagian perut.
Katanya, mereka kemudian diminta menunggu kira-kira 20 minit di hadapan pelanggan lain sementara pihak pasar raya menghubungi penyelia, sekali gus menyebabkan isterinya berasa malu dan tertekan.
Menurutnya, selepas penyelia tiba, juruwang yang didakwa membuat tuduhan itu mengakui tidak pernah melihat isterinya mengambil sebarang barangan.
Beliau mendakwa juruwang tersebut hanya membuat andaian kerana beranggapan bentuk perut isterinya tidak kelihatan seperti wanita hamil dan mengesyaki terdapat barangan disembunyikan.
Katanya, juruwang terbabit akhirnya memohon maaf kepada isterinya, manakala kakitangan lelaki yang menahan mereka turut memohon maaf selepas beliau meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan tersebut.
Beliau berkata, kejadian itu memberi tekanan emosi kepada isterinya yang sedang menunggu hari untuk melahirkan anak sulung mereka.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak pengurusan pasar raya menjalankan siasatan menyeluruh terhadap insiden berkenaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang terhadap pelanggan lain, khususnya wanita hamil.
Beliau turut menggesa supaya setiap dakwaan kecurian dikendalikan mengikut prosedur yang profesional dan berasaskan bukti, tanpa membuat andaian atau meminta wanita hamil menunjukkan keadaan fizikal mahupun rekod perubatan mereka di tempat awam.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak pasar raya berhubung dakwaan tersebut.

