KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan bahawa pihaknya serta majlis dan jabatan agama Islam negeri tidak pernah melantik Majlis Ulama Rohingya Malaysia untuk menguruskan atau memperakukan sebarang urusan pernikahan di negara ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Jakim memaklumkan hasil semakan mendapati dokumen yang tular di media sosial itu bukan dokumen rasmi yang diiktiraf atau dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa agama Islam di Malaysia.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai atau menggunakan dokumen berkenaan bagi sebarang urusan berkaitan agama Islam.
“Orang ramai juga disaran sentiasa membuat semakan dengan Jakim atau majlis dan jabatan agama Islam negeri sebelum mempercayai sebarang dokumen berkaitan urusan agama Islam yang diragui kesahihannya,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan memaklumkan bahawa pihaknya akan menyiasat dakwaan berkaitan sijil nikah Rohingya yang memaparkan kod dipercayai merujuk kepada Jakim.
Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini pihaknya belum memperoleh maklumat lengkap berhubung perkara tersebut dan akan mendapatkan penjelasan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang ulasan lanjut.
Isu itu tercetus selepas tular sekeping sijil perkahwinan yang didakwa dikeluarkan oleh Majlis Ulama Rohingya Malaysia dengan memaparkan kod “JAKIM.PERH/LN.800-7(5)”, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kaitan kod berkenaan dengan Jakim.
Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) turut menegaskan bahawa ‘Kad Perakuan Nikah’ yang dikeluarkan atas nama Persatuan Ulama Masyarakat Rohingya Malaysia bukan merupakan dokumen yang diiktiraf oleh jabatan itu.
Menurut JAIPk, pernikahan melibatkan komuniti etnik Rohingya tidak boleh didaftarkan buat masa ini kerana melibatkan isu dasar yang masih diperhalusi oleh pihak berkuasa agama negeri.


