Thursday, 23 July 2026
spot_img
PelbagaiTiba-tiba WhatsApp kena 'restrict'? pengguna luah urusan harian terganggu

Tiba-tiba WhatsApp kena ‘restrict’? pengguna luah urusan harian terganggu

KUALA LUMPUR – Ramai pengguna media sosial mendakwa akaun WhatsApp dan WhatsApp Business mereka disekat atau dihadkan secara tiba-tiba hari ini sehingga menjejaskan urusan harian serta operasi perniagaan.

Menerusi beberapa perkongsian di Threads, pengguna memuat naik tangkap layar yang memaparkan notifikasi seperti “This account can’t use WhatsApp”, “Your account is restricted right now” dan “Account in review” yang dipercayai mula diterima sejak pagi.

Seorang pengguna, @The.cakery.co, berkata dia masih tidak mengetahui punca akaunnya disekat dan berharap dapat memperoleh semula akses ke akaun tersebut.

“Adakah sesiapa tahu kenapa perkara ini berlaku? Agak-agak boleh dapat semula akaun WhatsApp ini? Tolong bantu,” katanya.

Seorang lagi pengguna, @Nurisyaf, memaklumkan akaun WhatsApp Business miliknya pada mulanya dikenakan sekatan selama 24 jam sebelum terus tidak boleh digunakan.

“Semua pelanggan saya berhubung melalui WhatsApp. Jadi, bagaimana saya hendak uruskan perniagaan sekarang?” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna dikenali sebagai @Naaasruuul berkata akaunnya turut disekat selepas menghantar jemputan majlis perkahwinan kepada kenalan.

“Saya hanya menghantar jemputan kahwin, tetapi hari ini akaun terus disekat walaupun ramai yang membalas mesej saya,” katanya.

Dalam pada itu, pengguna @Norsima_sidek berkongsi pengalamannya bahawa akaun boleh dipulihkan selepas membuat permohonan semakan melalui aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, kebanyakan akaun akan kembali pulih dalam tempoh kira-kira 24 jam, namun pengguna diingatkan supaya tidak menggunakan aplikasi atau bot pihak ketiga yang boleh menyebabkan sekatan dikenakan semula.

“Biasanya selepas membuat permohonan semakan, akaun akan pulih dalam tempoh 24 jam. Jika menggunakan bot pihak ketiga, ia perlu dinyahaktifkan kerana sekatan boleh dikenakan semula dan tempohnya mungkin lebih lama,” katanya.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada WhatsApp berhubung punca sebenar sekatan yang dilaporkan oleh sebilangan pengguna.

Insiden itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna, khususnya peniaga yang bergantung kepada WhatsApp Business sebagai medium utama untuk berhubung dengan pelanggan dan menguruskan operasi harian.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-