Khamis, 30 Julai 2026
spot_img
Hiburan'Saya tak minta simpati', Mila Jirin jelaskan dakwaan tunggakan KWSP

‘Saya tak minta simpati’, Mila Jirin jelaskan dakwaan tunggakan KWSP

KUALA LUMPUR – Usahawan dan bekas peserta Akademi Fantasia, Mila Jirin, tampil memberikan penjelasan susulan dakwaan seorang bekas pekerja yang mendakwa syarikat miliknya mempunyai tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama 10 bulan.

Menerusi satu kenyataan di media sosial, Mila berkata penjelasan itu dibuat bukan untuk meraih simpati, sebaliknya bagi memberi gambaran yang lebih menyeluruh mengenai situasi sebenar yang dihadapi syarikatnya.

Menurutnya, segala-galanya bermula ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila industri majlis dan perkahwinan hampir lumpuh sepenuhnya selama hampir tiga tahun.

Dalam keadaan sukar itu, Mila berkata ramai majikan memilih untuk mengurangkan pekerja atau menutup operasi, namun beliau mengambil keputusan mempertahankan seluruh tenaga kerja walaupun menyedari tindakan tersebut memberi kesan besar kepada kedudukan kewangan syarikat.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana beliau percaya kehilangan wang lebih ringan berbanding melihat ratusan keluarga kehilangan sumber pendapatan.

“Bukan mudah membuat keputusan ketika itu. Kami menggunakan simpanan syarikat, membuat pinjaman tambahan dan menanggung pelbagai komitmen supaya operasi dapat diteruskan serta pekerja terus menerima gaji,” katanya.

Mila turut mengakui bahawa tunggakan caruman KWSP memang berlaku sepanjang tempoh luar biasa tersebut, namun menegaskan perkara itu bukan sesuatu yang dibanggakan.

Sebaliknya, beliau menganggap caruman KWSP sebagai amanah yang wajib diselesaikan dan menjadi tanggungjawab syarikat.

Menurutnya, selepas operasi kembali pulih, pasukan pengurusan dan kewangan syarikat telah menyusun pelan pembayaran serta menguruskan setiap komitmen mengikut perancangan yang dipersetujui.

Dalam masa sama, Mila menegaskan bahawa beliau tidak pernah mempertikaikan hak pekerja terhadap caruman KWSP dan sentiasa mengiktiraf ia sebagai hak yang wajib dipenuhi.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa pihak syarikat menghalang mana-mana pekerja daripada membuat laporan atau cuba menutup mulut mereka berhubung isu berkenaan.

“Menjadi majikan adalah satu amanah. Apabila berdepan kesukaran, amanah itu tetap perlu dipikul sehingga selesai,” katanya.

Tambah Mila, beliau tidak menyimpan rasa marah terhadap mana-mana bekas pekerja yang tampil meluahkan perasaan mereka.

Sebaliknya, fokus utamanya kini adalah memastikan segala tanggungjawab yang masih berbaki dapat diselesaikan sebaik mungkin.

Beliau turut menegaskan tidak pernah menyesal dengan keputusan mempertahankan pekerja ketika tempoh PKP walaupun sehingga hari ini masih menanggung kesan daripada keputusan tersebut.

Isu berkenaan sebelum ini menjadi perhatian ramai selepas seorang individu mendakwa syarikat milik Mila mempunyai tunggakan caruman KWSP selama 10 bulan, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-