SHAH ALAM – Selangor terus menghidupkan impian mempertahankan pingat emas futsal Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 apabila menyingkirkan Johor 5-3 dalam aksi separuh akhir di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Shah Alam, petang tadi.
Kemenangan itu menyaksikan tuan rumah hanya dipisahkan satu perlawanan daripada mengulangi kejayaan pada edisi 2024, sekali gus berpeluang mempertahankan gelaran di laman sendiri.
Bagaimanapun, laluan Selangor ke final bukan mudah apabila Johor terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan Abdul Aiman Syahmi pada minit kelima.
Selangor hanya memerlukan tiga minit untuk bertindak balas apabila Amir Ammar menyamakan kedudukan sebelum Muhammad Aidil Zakwan meledak dua gol bagi meletakkan pasukannya di depan 3-1.
Johor enggan mengalah dan kembali memberi tekanan pada babak kedua apabila Muhammad Syaifullah Sulaiman merapatkan jurang pada minit ke-27 sebelum Muhammad Farhat menyamakan kedudukan pada minit ke-36.
Ketika perlawanan seakan-akan menuju ke penghujung yang mendebarkan, Selangor bangkit dengan dua jaringan tambahan untuk memastikan kemenangan 5-3 serta tiket ke final.
Diketuai bintang futsal negara, Syahir Iqbal Khan Akbar, Selangor memperagakan permainan berintensiti tinggi sepanjang perlawanan, terutama ketika berdepan kebangkitan Johor pada separuh masa kedua.
Selangor kini menanti pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan untuk menentukan lawan dalam perlawanan akhir perebutan pingat emas.
Pada SUKMA 2024, Selangor menewaskan Sarawak 2-0 di Stadium Tertutup Kota Samarahan untuk meraih pingat emas pertama sejak futsal diperkenalkan dalam temasya berkenaan pada 2014.

