ASEAN University Games45 rekod SUKIPT jadi tonik Malaysia buru kejayaan di AUG 2026

45 rekod SUKIPT jadi tonik Malaysia buru kejayaan di AUG 2026

KUALA LUMPUR – Keupayaan atlet institusi pendidikan tinggi (IPT) memecahkan puluhan rekod meskipun sebahagian mereka belum pulih sepenuhnya selepas beraksi di Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 memberi petanda positif menjelang Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 yang berbaki 93 hari lagi.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, prestasi dipamerkan sepanjang Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 menunjukkan kelompok atlet universiti negara mempunyai kemampuan untuk terus mencabar di pentas lebih besar.

Menurutnya, situasi itu lebih membanggakan apabila ramai atlet terpaksa berdepan jadual pertandingan yang padat susulan penglibatan mereka dalam SUKMA sebelum kembali membawa cabaran institusi masing-masing pada SUKIPT.

“Ramai juga atlet yang terlibat dalam SUKIPT ini turut terbabit dengan SUKMA, jadi mereka belum sempat pulih sepenuhnya tetapi sudah pun bersaing.

“Bagaimanapun, mereka tetap menunjukkan prestasi terbaik. Jadi, kita harap perkara yang sama dapat kita lihat dalam AUG dan ia akan menjadi satu medan yang sangat menarik untuk disaksikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup SUKIPT 2026 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), hari ini.

SUKIPT edisi ketujuh melabuhkan tirai dengan pencapaian memberangsangkan apabila sebanyak 45 rekod berjaya dipecahkan sepanjang temasya, termasuk dua Rekod Kebangsaan.

Dua rekod berkenaan hadir menerusi acara Kayak TK1 200 meter wanita dan Menembak 10 meter Air Rifle lelaki.

Pencapaian itu turut menyaksikan atlet Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Syahida Asyiqin Rusli serta pasukan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) masing-masing menerima insentif tunai RM20,000.

Adam Adli berkata, pencapaian berkenaan sekali lagi membuktikan IPT bukan sekadar medan melanjutkan pengajian, malah mempunyai peranan penting dalam membentuk dan melahirkan atlet berprestasi tinggi untuk negara.

“SUKIPT 2026 membuktikan bahawa institusi pendidikan tinggi negara memiliki potensi besar melahirkan atlet berprestasi tinggi.

“SUKIPT Edisi Ketujuh telah mencatat sejarah dengan memecahkan dua rekod kebangsaan dalam acara kayak dan menembak.

“Selain 38 rekod kejohanan merentasi acara olahraga, renang dan memanah,” katanya.

Temasya yang berlangsung sejak 28 Ogos itu menghimpunkan 64 kontinjen dengan penyertaan 8,244 atlet dalam 30 jenis sukan yang dipertandingkan di tujuh lokasi sekitar Kuala Lumpur.

Sebanyak 227 pingat emas, 227 perak dan 271 gangsa turut menjadi rebutan sepanjang temasya berkenaan.

Selepas berakhirnya SUKIPT, perhatian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini beralih kepada persiapan kontinjen negara menghadapi AUG 2026 yang bakal berlangsung di Malaysia.

Adam Adli berkata, kementerian akan terus memantau persiapan atlet bagi memastikan mereka berada dalam keadaan terbaik sebelum temasya dwitahunan itu membuka tirai.

Bagaimanapun, KPT belum menetapkan sasaran pingat secara terperinci dengan fokus ketika ini bukan sahaja terhadap prestasi atlet, tetapi juga memastikan Malaysia mampu menjalankan tanggungjawab sebagai tuan rumah dengan baik.

Menurutnya, penganjuran yang lancar menjadi antara tanggungjawab terbesar negara selain memastikan AUG 2026 meninggalkan pengalaman yang baik kepada semua kontinjen terlibat.

“Kita kena jadi penganjur yang baik, itu tanggungjawab yang paling besar untuk memastikan bahawa seluruh AUG itu dapat berjalan dengan lancar dan dapat diingati,” katanya.

Kejayaan SUKIPT 2026 kini menjadi penanda aras awal buat atlet universiti negara sebelum beralih ke cabaran lebih besar di AUG, dengan Malaysia bukan sahaja membawa misi memburu kejayaan di gelanggang sendiri, malah mempertahankan reputasinya sebagai penganjur temasya sukan universiti serantau.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-