Nasional"Mohon doakan semua selamat", keluarga juruterbang helikopter terhempas rayu doa orang ramai

“Mohon doakan semua selamat”, keluarga juruterbang helikopter terhempas rayu doa orang ramai

KUALA LUMPUR – Penantian penuh debaran menyelubungi keluarga lima individu yang berada dalam helikopter perkhidmatan doktor udara yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang (STOLport) Long Lellang, Sarawak, petang tadi apabila status mereka masih belum diketahui.

Seorang pengguna Threads dikenali sebagai aimnsuhaimi tampil memohon orang ramai mendoakan keselamatan kesemua individu terbabit, khususnya juruterbang helikopter berkenaan yang merupakan abang iparnya.

Menerusi perkongsian di platform itu, pengguna berkenaan turut berharap sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai perkembangan mangsa dapat menghubunginya memandangkan ahli keluarganya masih menantikan khabar.

“Hai semua Assalamualaikum, mohon doakan semua selamat ya. Especially the pilot (terutamanya juruterbang). Sebab juruterbang itu abang ipar saya.

“Harap yang ada maklumat tentang mereka boleh maklumkan kepada saya ya, sebab kakak saya belum tahu lagi pasal ini,” katanya.

Lima individu yang dilaporkan berada dalam helikopter berkenaan ialah Kapten Zainol, Dr Ainul, PPP Alexson Adit, SN Debra Moset dan SN Jessie Paya.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah helikopter jenis BO-105bernombor pendaftaran 9M-LLF terhempas berhampiran STOLport Long Lellang, Sarawak.

Menurut CAAM, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 3.58 petang.

Helikopter berkenaan dilaporkan sedang menjalankan penerbangan perkhidmatan doktor udara atau Flying Doctor Service ketika kejadian.

Setakat ini, status keselamatan kesemua lima individu terbabit masih belum diketahui, sementara perkembangan lanjut mengenai insiden berkenaan masih menunggu pengesahan rasmi pihak berkuasa.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai keadaan mangsa sehingga maklumat rasmi dikeluarkan pihak berkuasa.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-