NasionalHelikopter 'Flying Doctor Service' bawa lima individu terhempas di Long Lellang

Helikopter ‘Flying Doctor Service’ bawa lima individu terhempas di Long Lellang

SARAWAK – Misi perkhidmatan doktor udara (Flying Doctor Service) bertukar cemas apabila sebuah helikopter yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran STOLport Long Lellang, Sarawak, petang tadi.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF itu terbabit dalam kejadian berkenaan.

Menurut CAAM, pihaknya menerima makluman mengenai nahas tersebut kira-kira pukul 3.58 petang.

“Helikopter berkenaan sedang menjalankan penerbangan perkhidmatan doktor udara (Flying Doctor Service) dengan membawa lima individu termasuk juruterbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat ini, CAAM belum memperincikan keadaan kesemua individu yang berada di dalam helikopter berkenaan ketika kejadian.

Sementara itu, siasatan bagi mengenal pasti punca nahas akan dikendalikan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan.

“Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut mengenai kejadian termasuk keadaan mangsa dan perkembangan operasi susulan dijangka dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh pihak berkuasa.

Berita lanjut menyusul.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-