Jumaat, 12 Jun 2026

Tiga penyampai 3 Pagi Era masih direhatkan sehingga siasatan dalaman selesai

Foto ERA FM


CYBERJAYA – Penyampai radio 3 Pagi Era, Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin masih lagi direhatkan sehingga siasatan dalaman selesai bagi memastikan kesilapan sama tidak berulang.
Ketua Strategi Astro Radio, Rizal Sahimy, berkata pengumuman mengenai status tiga penyampai itu akan dibuat selepas siasatan dalaman selesai.
\”Siasatan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah pun selesai, lesen tidak digantung dan saman telah dikenakan.

\”Bagaimanapun, kami masih lagi menjalankan siasatan dalaman secara terperinci dari segala sudut. Buat masa ini, mereka masih direhatkan bagi meredakan tekanan kerana isu ini masih panas,\” katanya ketika ditemui di Iftar @ Masjid Zayan FM dan Era FM di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, semalam.
Menurut Rizal, setakat ini tiada prosedur operasi standard (SOP) baharu diperkenalkan, namun pemantauan lebih ketat akan dilaksanakan bagi mengelakkan kecuaian berulang.
\”SOP sudah sedia ada, dan kami hanya akan memastikan ia dipatuhi sepenuhnya. Penyampai juga sudah menyesali perbuatan mereka serta memohon maaf secara terbuka, jadi kami faham mereka tertekan.

\”Bagi menjaga kesihatan mental mereka dan mengelakkan kerja terganggu, buat masa ini biarlah mereka berehat dahulu,\” katanya.
Rizal turut mengesahkan bahawa video tular yang mencetuskan kontroversi telah dipadam bagi menjaga sensitiviti masyarakat.
Semalam, Maestra Broadcast Network System Sdn Bhd dikenakan kompaun sebanyak RM250,000, namun lesen mereka tidak digantung.
Pada 4 Mac lalu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, telah mengarahkan SKMM untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung video tular yang menunjukkan tiga penyampai radio Era FM mempersendakan upacara agama lain.

Jafnieza Jafri
Jafnieza Jafri
jafnieza@portalmyberita.com