Agong zahir keyakinan hubungan Malaysia-China terus kukuh

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan keyakinan bahawa hubungan antara Malaysia dan China akan terus diperkukuh, meskipun dunia kini berdepan pelbagai cabaran geopolitik.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah bahawa Malaysia memberi penekanan kepada beberapa aspek penting dalam hubungan dua hala dengan China.

\”Malaysia menitikberatkan integrasi ekonomi yang lebih mendalam, pengukuhan kolaborasi rantaian bekalan dan perindustrian, peningkatan ketersambungan, serta menegakkan prinsip hormat dan manfaat bersama dalam penglibatan dengan semua rakan kongsi termasuk China.\”

Baginda turut menyuarakan potensi besar yang dimiliki oleh pelabur dari China untuk meneroka peluang pelaburan di Malaysia.

\”Saya percaya terdapat potensi besar untuk syarikat dan pelabur China untuk meneroka peluang di sini kerana ia selari dengan kepentingan ketersambungan serantau dan pembangunan berkualiti tinggi di bawah Inisiatif ‘Belt and Road’ oleh China.\”

\” Dengan insentif strategik yang kukuh serta lokasi yang baik, Hab Kewangan Khas Forest City di dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah muncul sebagai antara lokasi pelaburan utama rantau ini.\”

Seri Paduka bertitah demikian semasa pertemuan bersama Presiden China, Xi Jinping, di Istana Negara hari ini sempena Lawatan Negara selama tiga hari oleh pemimpin tertinggi China itu.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan hasrat untuk mempererat hubungan budaya antara dua negara menerusi inisiatif pertukaran bahasa dan pendidikan.

\”Saya percaya bahasa adalah jambatan penting dalam mengukuhkan hubungan dua hala.\”
\”Ke arah ini, saya berhasrat untuk giat mempromosikan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University (BFSU).\”

Baginda turut berkenan menjemput Kerajaan China untuk memperluas promosi pertukaran bahasa serta meningkatkan bilangan penuntut dari Malaysia ke China.

BACA JUGA:  China nyata hasrat sertai perjanjian bebas nuklear ASEAN - Mohamad

\”Jumlah pertukaran pelajar antara kedua-dua negara telah meningkat dan Malaysia berhasrat untuk menghantar lebih ramai penuntut ke China untuk bertukar ilmu dan kebudayaan.\”

Lawatan Xi Jinping kali ini merupakan kunjungan rasmi kedua beliau ke Malaysia selepas lawatan pada 2013 yang menyaksikan hubungan diplomatik kedua-dua negara dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Ia juga merupakan sebahagian daripada siri lawatan pertama Xi bagi tahun ini, yang turut merangkumi Vietnam dan Kemboja.

Malaysia dan China telah menjalinkan hubungan diplomatik sejak 31 Mei 1974 dan pada tahun lalu, kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala.

China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009.

Pada tahun 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan China mencecah RM484.12 bilion, bersamaan 16.8 peratus daripada keseluruhan dagangan global negara sebanyak RM2.88 trilion.

Ahmad Naufal
Ahmad Naufal
ahmadnaufal@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...