Program CSR “Armada Memberi” tingkat kemahiran orator pelajar dan komuniti asnaf

IPOH – Program khidmat masyarakat berimpak bertemakan “Armada Memberi: Inisiatif Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) Dalam Membudayakan Generasi Celik Orator” berjaya dilaksanakan Kelab Orator Armada Sujana dari Politeknik Ungku Omar (PUO), hasil kerjasama pensyarah Jabatan Pengajian Am institusi tersebut.

Program yang berlangsung dalam dua siri berasingan itu menyasarkan pelajar sekolah dan komuniti asnaf dengan matlamat memupuk budaya pengucapan awam serta membentuk generasi muda yang berani, berkeyakinan dan berketrampilan tinggi.

Penasihat Kelab Orator Armada Sujana PUO yang juga pensyarah, Muhammad Zaki Yahaya, berkata, program ini merupakan kesinambungan inisiatif yang telah bermula sejak tahun 2023 dan akan diteruskan secara berperingkat.

“Kami percaya bahawa generasi muda perlu diberikan ruang dan latihan untuk menjadi pemimpin pemikiran masa hadapan. Program seperti ini bukan sahaja membuka jalan kepada pengucapan awam, malah memupuk nilai empati, kepimpinan dan semangat kesukarelawanan,” jelas beliau.

Lebih 40 fasilitator pelajar dan pensyarah PUO terlibat dalam menjayakan program ini.

Siri pertama melibatkan penyertaan lebih 100 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan, Ipoh, melalui kerjasama dengan Panitia Bahasa sekolah tersebut. Para peserta didedahkan dengan teknik asas pengucapan awam dan aktiviti interaktif bagi meningkatkan keyakinan diri.

Siri kedua pula menyantuni lebih 40 penghuni Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam, Ipoh. Selain latihan pengucapan awam, program turut menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM1,000 serta barangan makanan asas hasil kutipan warga dan keluarga Jabatan Pengajian Am PUO. Penghuni juga menerima duit raya sempena sambutan Aidilfitri.

Selain itu, PUO turut giat menganjurkan program pemerkasaan seumpamanya seperti Webinar Debat-Debate: Tak Kenal Tak Cinta serta Armada Mendunia: Serlahkan Potensimu yang boleh diakses di platform digital.

BACA JUGA:  Comm@L.I.T. kukuhkan jalinan institusi dan komuniti, bantu gelandangan pulih keyakinan diri

Program ini bukan sahaja memberi penekanan terhadap kemahiran bertutur, malah turut mengaplikasikan pendekatan design thinking dalam usaha melahirkan individu yang lebih kreatif, inovatif dan prihatin terhadap masyarakat.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen PUO dan Kelab Orator Armada Sujana dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dan menyokong pembangunan modal insan yang holistik serta berwibawa.

Aqilah Nadhirah
Aqilah Nadhirah
aqilahnadhirah@portalmyberita.com

TRENDING

Suspek kes kurung, liwat remaja 14 tahun berjaya diberkas

KUALA LUMPUR - Pemburuan selama lima hari terhadap seorang...

Haroqs hanyutkan coklat ke laut demi anak-anak Gaza

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Muhammad Hareez Adzrami...

Tiada penyingkiran, Pak Azad & Amarra Sofea terselamat minggu kelima TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan Pak Azad dan Amarra Sofea...

‘Travel around the world’ warnai Hari Guru Sekolah Sultan Alam Shah 2026

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sultan Alam...

Aidiladha di Malaysia disambut 27 Mei ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh Malaysia akan...