KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini akhirnya bakal menganjurkan konsert sulungnya yang dijadualkan berlangsung pada 8 Ogos 2025.
Konsert Hael Husaini & Repertoire itu bakal berlangsung di ZEPP Kuala Lumpur, menandakan detik bersejarah dalam kerjaya seni Hael yang telah lebih satu dekad mewarnai industri muzik tanah air.
Hael membuat pengumuman tersebut secara rasmi ketika siaran langsung program Big Stage 2025 peringkat suku akhir yang berlangsung malam tadi, sekali gus mengejutkan para peminat yang telah lama menantikan detik istimewa itu.
Menurut Hael, tiket bagi konsert tersebut boleh mula dibeli melalui platform Ticket2U bermula Selasa ini, 3 Jun 2025.
Hael yang popular dengan lagu-lagu hit seperti Jampi, Haram dan Diam berkata, konsert ini merupakan hadiah istimewa buat para peminat yang tidak pernah jemu menyokongnya sejak awal kemunculannya.
Difahamkan, konsert itu akan menampilkan susunan muzik istimewa, persembahan visual yang memukau serta beberapa kejutan termasuk penampilan artis jemputan yang bakal diumumkan kelak.
Para peminat dinasihatkan untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan memandangkan sambutan dijangka luar biasa.

