KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini mengumumkan bahawa pembentukan Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia (MMM) telah dimuktamadkan dan bakal diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat.
Menurut beliau, lembaga itu akan dianggotai seramai 12 individu yang mewakili empat kategori iaitu wakil syarikat media, persatuan media, pengamal media serta pengamal media bebas, dan wakil daripada kalangan bukan media.
Pengumuman itu dibuat semasa Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dengan tema “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, dan dihadiri lebih 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan kehadiran tetamu kenamaan lain termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Chieng.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai; Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; serta Ketua Pengarang Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025, Arul Rajoo Durar Raj bersama barisan pengurusan tertinggi syarikat media tempatan.
Sebelum ini, Fahmi pernah memaklumkan bahawa MMM dijangka dapat berfungsi sebagai badan kawal selia kendiri bermula pertengahan tahun ini, selepas Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024 diluluskan di Parlimen pada Februari lalu.
Majlis itu bakal memainkan peranan penting dalam melindungi kebebasan media, memelihara etika kewartawanan serta memperkukuh ekosistem media negara selari dengan perkembangan era digital.
Sambutan HAWANA 2025 yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan dilaksanakan oleh Bernama bertujuan mengiktiraf peranan serta sumbangan pengamal media dalam membina pembangunan negara.
Tanggal 29 Mei telah diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bagi memperingati penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, sekaligus menghargai peranan media dalam membentuk masyarakat yang bermaklumat.

