WASHINGTON – Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mencetuskan ketegangan perdagangan global apabila mengumumkan rancangan untuk mengenakan tarif lebih tinggi terhadap lebih 12 negara, termasuk Malaysia, dalam usaha menghidupkan semula dasar perlindungan ekonominya.
Menerusi satu surat rasmi yang dihantar kepada beberapa rakan dagangan utama, termasuk Jepun dan Korea Selatan, Trump memaklumkan bahawa tarif yang digantung pada April lalu akan mula dikuatkuasakan semula dalam tempoh tiga minggu. Tarif tersebut dijangka dikenakan secara mendadak bermula 1 Ogos ini.
Antara negara yang terlibat ialah:
- Malaysia, Tunisia, Kazakhstan – dikenakan 25 peratus tarif
- Afrika Selatan, Bosnia-Herzegovina – 30 peratus
- Indonesia – 32 peratus
- Serbia, Bangladesh – 35 peratus
- Kemboja, Thailand – 36 peratus
- Laos, Myanmar – 40 peratus
Bercakap kepada media ketika menghadiri majlis makan malam bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Trump berkata bahawa beliau masih terbuka kepada perbincangan dengan negara-negara terlibat sebelum tarikh akhir 1 Ogos.
“Saya tegas katakan akan tetapi bukan 100 peratus tegas,” katanya sambil menjelaskan bahawa beliau bersedia menilai semula tarif jika menerima tawaran yang berbeza dan lebih menguntungkan AS.
Menurutnya lagi, beberapa negara masih boleh mengelakkan tarif tersebut sekiranya bersetuju dengan syarat perdagangan baharu yang bakal ditetapkan oleh Washington.
Apabila ditanya tentang alasan pemilihan Jepun dan Korea Selatan sebagai sasaran awal, Setiausaha Akhbar White House, Karaoline Leavitt menjelaskan bahawa ia adalah “hak prerogatif presiden” dan “negara-negara itu dipilih secara strategik”.
Sementara itu, negara-negara seperti Singapura, India dan Taiwan dilaporkan masih belum menerima sebarang makluman rasmi berhubung tarif baharu tersebut daripada Rumah Putih.
Malaysia, yang sebelum ini mengeksport produk bernilai berbilion ringgit ke AS, dijangka akan terkesan teruk sekiranya tarif 25 peratus dilaksanakan, khususnya terhadap sektor komoditi dan pembuatan.
Langkah ini sekali gus menandakan potensi permulaan semula perang perdagangan global, selepas ketegangan serupa yang berlaku semasa penggal pertama Trump di White House.

